KUCHING: Sarawak merekodkan peningkatan sebanyak 15 peratus dalam pergerakan pesawat bagi suku ketiga tahun ini, iaitu sebanyak 112,625 pergerakan, serta 9.07 juta penumpang.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Seri Lee Kim Shin, berkata peningkatan itu turut dicatatkan dalam pengendalian kargo udara, melibatkan 49,895 tan dalam tempoh sama tahun lalu.
Menurutnya, Sarawak kini menerima 51 penerbangan antarabangsa mingguan, manakala purata penerbangan domestik mingguan dari negeri-negeri lain di Malaysia mencecah 551 penerbangan.
“Kuching terus menjadi pintu masuk utama dengan 268 penerbangan mingguan, diikuti Miri (144), Sibu (79), Bintulu (48), Limbang (3), Lawas (2) dan Mulu (7),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan bagi Kementerian Pengangkutan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak) hari ini.
Kim Shin menjelaskan, bagi penerbangan dalam Sarawak sendiri, purata 684 penerbangan mingguan direkodkan, menghubungkan bandar-bandar utama dan kawasan luar bandar di bawah Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS), termasuk Miri (190), Kuching (164), Sibu (69) dan Bintulu (59).
“Ketersambungan antarabangsa Sarawak yang semakin berkembang turut diperkukuh dengan pelancaran perkhidmatan sewaan berjadual Haikou–Kuching oleh 9Air.
“Manakala perkhidmatan sewaan Shenzhen–Kuching oleh Loong Air dijangka bermula tidak lama lagi,” ujarnya.
Tegasnya, kementerian akan terus bekerjasama rapat dengan syarikat penerbangan dan agensi strategik bagi mendapatkan lebih banyak laluan antarabangsa secara terus, sekali gus meningkatkan ketersambungan global Sarawak serta memperluas peluang ekonomi. -TVS



