SERIAN: Kejohanan Bola Sepak Tertutup Piala ADUN N.21 Tebedu, Dr Sinang Bada 2026, melabuhkan tirainya esok dengan menyaksikan pertembungan antara Taee Union dan Belia Taee pada perlawanan akhir.
Perlawanan yang dijangka berlangsung sengit itu akan bermula pada pukul 4 petang di Padang Bola Sepak Kampung Taee, di sini, bagi menentukan juara edisi tahun ini.
Taee Union mara ke final selepas menewaskan Marr SC menerusi penentuan sepakan penalti 4-2 selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan pada masa sebenar perlawanan.
Belia Taee pula mengesahkan tempat ke final selepas menundukkan Kuma FT 4-2 menerusi sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1.

Pasukan yang muncul juara akan membawa pulang wang tunai RM4,000 berserta piala dan pingat, manakala naib juara menerima RM3,000 serta piala dan pingat.
Dua pasukan yang tewas di peringkat separuh akhir pula masing-masing menerima RM1,000, piala dan pingat selaku pemenang tempat ketiga bersama.
Kejohanan itu dianjurkan oleh Belia Kampung Taee dengan kerjasama Saberkas Kampung Taee, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Taee serta Pusat Khidmat ADUN N.21 Tebedu.
Dengan kedua-dua pasukan memiliki barisan pemain berbakat dan berpengalaman, perlawanan akhir esok dijangka menyajikan aksi menarik dan sengit bagi merebut trofi berprestij berkenaan.


