KUCHING: Dua pasukan handalan, MT Twelve FC dan WFL United berjaya mara ke perlawanan akhir Kejohanan Bola Sepak Piala Presiden BIFA Edisi Ke-2 2025 yang dijadual berlangsung di Stadium Bintulu pada Sabtu ini (12 Julai).
Kedua-dua pasukan terbabit memastikan slot untuk pemburuan gelaran juara edisi kali ini selepas menumpaskan lawan masing-masing di peringkat separuh akhir hujung minggu lalu.

MT Twelve FC berjaya mara ke final selepas menyingkirkan Ensumbar FC dengan kemenangan 4-2 menerusi sepakan penalti selepas terikat tanpa jaringan untuk masa sebenar perlawanan.
Manakala WFL United mara selepas mengenepikan Project Park FC dengan kemenangan sama 4-2, juga menerusi sepakan penalti selepas kedua-duanya terikat 1-1 untuk masa penuh perlawanan.
Presiden BIFA, Haji Sophie Shariee memberitahu, aksi final yang dijangka sengit itu membabitkan kedua-dua pasukan hujung minggu ini.
“Setentunya misi mahu memastikan kemenangan menjadi fokus pemain kedua-dua pasukan pada perlawanan akhir nanti bagi memuktamadkan gelaran juara mampu didakap,” ujar Sophie kepada Arena Suara Sarawak.
Tegas Sophie, kedua-dua pasukan mempunyai kelebihan tersendiri terutama dari segi barisan pemainnya.





