Perintis e-bilik darjah: SJK Chung Hua No. 4 Kuching

KUCHING: SJK Chung Hua No. 4 Kuching merupakan sekolah pertama yang memiliki bilik darjah pintar dengan memperkenalkan e-bilik darjah di kawasan ini.

Sehubungan itu, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengucapkan tahniah kepada sekolah berkenaan kerana mempunyai inisiatif untuk membina bilik darjah pintar.

“Saya baharu sahaja melancarkannya. Ia merupakan satu perkara yang interaktif antara pelajar dan guru,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Makan Malam Capgomei Jawatankuasa Pengurusan Sekolah Rendah Chung Hua No 1-6, di Dewan SJK Chung Hua No. 4 di sini, semalam.

Tambahnya, mempunyai kelas pintar seperti itu adalah cara baharu untuk belajar. “Kita menggunakan teknologi, berbeza dengan keadaan masa kita bersekolah dahulu,” ujarnya.

Abang Johari juga menyatakan, beliau tahu bahawa sekolah tersebut memerlukan RM720,000 lagi untuk kemudahan kelas. “Ini banyak, tetapi kita boleh cari sama-sama. “Apabila ada sesetengah orang menderma, ada yang menaja untuk tujuan itu… kita boleh dapatkannya,” katanya.

Jelas Abang Johari, beliau yakin Sarawak mempunyai masa hadapan yang cerah dalam menguasai teknologi terkini.

Hadir sama Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian; Timbalan Ketua Cawangan PBB Satok Datuk Ibrahim Baki, Presiden Persekutuan Lembaga Pengurusan Sekolah Rendah Bantuan Cina Bahagian Kuching, Samarahan dan Serian Jonathan Chai Voon Tok; Datuk Bandar Kuching Selatan Datuk Wee Hong Seng; Pengerusi Lembaga Pengurusan Sekolah Rendah Chung Hua No. 1-6 Wong Tiong Hock serta wakil yang lain.

Suara Sarawak