ARTIKEL

Perjalanan seni DR KAMIL SALEM

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KOMPOSER, pemuzik dan penyanyi, Dr Kamil Salem, barubaru ini dinobatkan sebagai penerima Anugerah Sri Ritma Kenyalang sempena Anugerah Seni Sarawak, satu pengiktirafan yang memberikan makna mendalam dalam perjalanan panjang seninya.

Saat namanya diumumkan, perasaannya segera diselubungi sebak kerana ingatannya terus tertumpu kepada arwah ibu, Nen (Sonen) Kana dan ayahnya, Salem Mohamad, yang mula menanam kecintaan terhadap muzik sejak kecil.

Segala-galanya bermula dengan alat muzik rekorder (sejenis seruling) berharga RM10 yang dibelikan ketika beliau masih bersekolah.

Daripada tiupan pertama yang terhasil, lahirlah benih perjalanan seni yang akhirnya membawanya ke pentas penghormatan hari ini.

Tidak lama kemudian, arwah ibunya menghadiahkannya violin, alat muzik yang disimpan sehingga kini sebagai simbol kasih seorang ibu yang melihat masa depan anaknya lebih awal daripada sesiapa.

Ibunya, seorang Sheikh Gendang Melayu Sarawak dari Kampung Semera, Sadong Jaya, hidup dalam dunia irama dan disiplin seni tradisi. Datuknya dari Kampung Sebangan pula merupakan pembuat dan pemain gambus yang menurunkan warisan seni secara langsung melalui tangan dan jiwanya.

Dr Kamil sedar bahawa anugerah ini bukan sekadar tentang dirinya, tetapi kisah tiga generasi yang hidup dalam muzik. Perjalanan seninya mula mendapat perhatian pada 1974 apabila beliau memberanikan diri menyertai Bakat TV ’74 terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM), Kuala Lumpur.

Hal itu mengejutkan ramai kerana beliau ketika itu lebih dikenali sebagai ahli pidato, bukan penyanyi.

Gaya pidatonya yang dipengaruhi karisma Tun Abdul Rahman Ya’kub menjadi asas pembawaan dirinya di pentas awal.

Apabila berita tentang penyertaannya tersebar, penduduk kampung mengadakan kenduri bagi meraikan keberaniannya mewakili Sarawak. Saat itu, beliau sedar bahawa bakat, walaupun kecil, mampu membawa kegembiraan kepada ramai.

Tanpa asas muzik formal, beliau beruntung apabila komposer tersohor Ooi Eow Jin membuka pintu perkenalannya kepada dunia muzik profesional.

Sekembali ke Kuching, keyakinan ibunya semakin jelas. Hadiah violin menjadi permulaan perjalanan pembelajaran yang lebih teratur.

Dengan bimbingan Cikgu Tan Jack Lai dari St Thomas, beliau mula belajar membaca notasi muzik dan menguasai teknik mengesek violin yang betul.

Tahun 1978 menjadi detik penting apabila beliau menubuhkan kumpulan acapella D’Crescendos bersama Profesor Dr Junaenah Sulehan, Julai Elen dan Husni Eddy.

Di bawah tunjuk ajar mendiang Lawrence Oliver Dragon dari RTM Sarawak dan Yuki Sakamoto dari Jepun, beliau mendalami harmoni vokal serta teknik penciptaan lagu.

Tahun sama menyaksikan kumpulan itu menjuarai Bintang RTM ’78, sekali gus membuka lembaran baharu dalam kerjaya profesionalnya.

D’Crescendos kemudiannya menandatangani kontrak selama empat tahun bersama Titra Records Kuala Lumpur, sebaris dengan Kumpulan Harmoni, Titra dan kemudian Sheila Majid.

Mereka menerima Anugerah Best Selling Album 1983 dan lagu mereka berjaya bertahan selama tujuh minggu di tangga teratas carta radio ibu kota. Namun, bagi Dr Kamil, kemenangan bukanlah cabaran sebenar.

Perjuangan utamanya ialah mencari identiti seni sendiri di tengah persimpangan antara muzik komersial, tradisional dengan ekspresi peribadi. Setelah melalui pelbagai fasa, beliau akhirnya menemui suara seni yang jujur dan tulus.

Dengan pengalaman puluhan tahun, beliau kini dikenali sebagai penyanyi duet bersama Fauziah Gambus, komposer, penggubah, penyusun (arranger), pemilik studio rakaman, serta penyelidik dalam bidang kesenian dan Pembangunan Sumber Manusia (HRM).

Duet Dr Kamil bersama Fauziah Gambus boleh disaksikan di platform YouTube, Facebook dan TikTok. Dalam pada itu, beliau juga merupakan usahawan kreatif dan penceramah dalam pemasaran digital, fotografi dan videografi. Kepelbagaian ini membentuk identiti artistiknya yang tersendiri.

“Anugerah Sri Ritma Kenyalang membawa makna yang melangkaui pengiktirafan. Ia adalah amanah, tanggungjawab dan peringatan bahawa seni ialah perjalanan yang tidak pernah berakhir.

“Akhirnya, karya saya benarbenar difahami dan dirasai, sesuatu yang amat menyentuh hati saya sebagai seorang seniman,” ujar beliau kepada Suara Sarawak.

Selepas menerima anugerah ini, Dr Kamil bertekad memberi tumpuan kepada tiga hala tuju, iaitu memperkukuh identiti muzik Sarawak dan Nusantara, berkongsi ilmu dengan generasi muda serta menggabungkan tradisi dan inovasi bagi memastikan budaya tidak statik, tetapi terus berkembang segar.

Beliau menegaskan bahawa dalam usaha memartabatkan seni budaya Sarawak, penyampaian kepada generasi muda perlu dilakukan melalui medium kontemporari seperti media sosial, dokumentari, persembahan kreatif dan muzik gabungan moden serta tradisi.

Katanya, budaya tidak perlu diubah, tetapi perlu diketengahkan dengan cara yang lebih dekat dengan dunia hari ini.

Malah, beliau mengakui pentingnya pendidikan budaya berdasarkan sumber sahih melalui tenaga pakar, dokumentasi kukuh dan kurikulum yang teratur.

Katanya, hanya dengan asas yang benar, warisan dapat dihormati dan disampaikan dengan maruah.

“Jaga disiplin, jaga keaslian dan jangan takut mencipta peluang sendiri.

Dalam era digital, ruang berkarya terbuka luas — rakaman di rumah, media sosial, kolaborasi kreatif dan platform kendiri memberi peluang kepada sesiapa sahaja yang berani mencuba,” nasihat  

Dr Kamil kepada generasi muda.

Beliau percaya bahawa seni yang berakar daripada budaya sendiri sentiasa lebih jujur dan bernilai.

Digabungkan dengan ilmu, kesungguhan dan keikhlasan, masa depan seni Sarawak berada di tangan generasi muda yang berani melangkah ke hadapan.

Menariknya, beliau pernah berlakon dalam 269 drama terbitan RTM Kuching dan Terengganu.

Antara drama terbaiknya ialah Siti Khuzaimah (1975), apabila beliau memegang watak hero dalam drama bersyair tersebut, selain turut berperanan sebagai salah seorang pemain piano yang mengiringi nyanyian syair untuk drama itu.

Drama Jerangau Merah pula telah memenangi Anugerah Sri Angkasa 1989 (RTM Kuala Lumpur) bagi kategori Drama Radio Terbaik dan diterbitkan oleh Rosnah Razali.

Sepanjang kerjayanya, Dr Kamil telah menerima pelbagai pengiktirafan termasuk Pegawai Bintang Sarawak (2020), Pegawai Bintang Kenyalang (2017), Ahli Bintang Kenyalang (2003), Anugerah Tokoh Kenyalang EMAS (2020), Academic Excellence Award UMK (2017) dan Anugerah Penyanyi Kumpulan Terbaik 1983 bersama D’Crescendos.

Untuk pengetahuan, Anugerah Sri Ritma Kenyalang merupakan anugerah keempat yang diterima oleh Dr Kamil dalam bidang seni, selepas beliau sebelum ini menerima pengiktirafan di Riau (Indonesia), Kuala Lumpur dan Kuching.

Kini, dengan penganugerahan Sri Ritma Kenyalang, Dr Kamil Salem melangkah ke fasa baharu dalam perjalanan seninya, iaitu fasa yang menghargai warisan leluhur, memperkukuh identiti budaya dan membawa seni Sarawak ke pentas yang lebih luas dengan seluruh jiwa serta dedikasi yang tidak pernah goyah.

BERITA LAIN

SEMAKIN DIGITAL, semakin selamatkah kita?

TEKNOLOGI digital dan kecerdasan buatan (AI) kini berkembang dengan begitu pesat dalam pelbagai aspek kehidupan masyarakat. Namun, di sebalik kemudahan yang dinikmati untuk bekerja, belajar

KESIHATAN nikmat tidak ternilai

KESIHATAN merupakan antara nikmat terbesar yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada manusia. Dengan tubuh yang sihat, seseorang dapat melaksanakan ibadah, mencari rezeki, menuntut ilmu dan

BERITA TERBARU