ARTIKEL

Gambar hiasan janaan AI

Perjalanan terakhir A23a

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KELMARIN, saya sempat membaca laporan khas BBC News yang mendedahkan bahawa bongkah ais (iceberg) A23a kini berada di penghujung hayatnya apabila saiznya semakin mengecil dan mula berpecah.

Dan, dalam beberapa minggu lagi, A23a yang pernah diiktiraf sebagai iceberg terbesar di dunia ini dijangka lenyap sepenuhnya setelah hampir empat dekad terapung dan bergerak merentasi Lautan Atlantik Selatan.

Iceberg A23a bukanlah bongkah ais biasa kerana ketika pertama kali terpisah daripada lapisan ais Antartika sekitar 1986, saiznya amat besar.

Kawasannya ketika itu dianggarkan lebih dua kali ganda keluasan Greater London di United Kingdom.

Namun begitu, seperti semua iceberg lain, ia akhirnya akan mencair dan berpecah susulan pelbagai faktor termasuk perubahan iklim. Selama hampir 40 tahun, para saintis cuba memahami perubahan di Antartika serta kesannya terhadap iklim global.

Dalam laporan khas BBC tersebut, Pofesor Mike Meredith dari British Antarctic Survey menyifatkan perjalanan A23a sebagai luar biasa.

Menurut beliau, iceberg tersebut telah bertahan dalam keadaan stabil untuk tempoh yang sangat panjang sebelum mula berpecah secara dramatik sepanjang tahun lalu.

Dan, kini ia berada di ambang kemusnahan. Iceberg A23a juga dianggap antara iceberg tertua yang masih dikesan oleh satelit moden. Untuk memahami skala sebenar iceberg ini, saintis pernah membuat perbandingan mudah.

Jika A23a diletakkan di Selat Inggeris, ia hampir boleh merentangi jarak antara Isle of Wight di England dengan Normandy di Perancis. Namun kini, saiznya jauh lebih kecil sehingga tidak mampu mencapai separuh jarak antara Dover dengan Calais.

Sepanjang separuh pertama 2025, iceberg tersebut mengecil kira-kira satu perempat daripada saiz asalnya apabila ketulan ais besar itu mula pecah daripada struktur utamanya.

Saintis juga berkata, air laut yang lebih panas juga menghakis bahagian sisi dan dasar iceberg tersebut.

Akhirnya menjelang pertengahan tahun, A23a bakal kehilangan statusnya sebagai iceberg terbesar di dunia, walaupun masih dianggap sangat besar.

Difahamkan situasi tersebut berubah dengan cepat apabila iceberg itu memasuki kawasan Lautan Atlantik Selatan berhampiran North-west Georgia Rise, iaitu kawasan dasar laut yang tinggi kira-kira dua kilometer dari sekitarnya.

Di kawasan itu, saintis memerhatikan sesuatu yang luar biasa iaitu A23a dilihat berpusing selama beberapa minggu di atas arus laut yang berputar.

Tekanan mekanikal daripada arus tersebut dipercayai mempercepat proses pemecahan iceberg yang sudah pun lemah akibat air laut yang lebih panas.

Beberapa iceberg baharu terpisah daripada bongkah utama, antaranya dinamakan A23g, A23h dan A23i.

Penamaan ini menunjukkan bahawa ketulan ais tersebut berasal daripada iceberg asal A23a. Pada penghujung Disember pula, ketika musim panas di hemisfera selatan memuncak, iceberg tersebut turut terdedah kepada udara yang lebih panas.

Fenomena air cair berwarna biru terang muncul di permukaan iceberg.

Air itu berkumpul di bahagian atas kerana dikelilingi lapisan tebing ais yang menghalangnya daripada mengalir keluar. Walaupun kelihatan indah dari imej satelit, fenomena tersebut sebenarnya satu petanda buruk.

Profesor Mike Meredith menjelaskan, kehadiran air cair di permukaan menunjukkan iceberg tersebut mencair, bukan sahaja dari bawah akibat air laut panas, tetapi juga dari atas.

Sementara itu, Dr. Catherine Walker dari Woods Hole Oceanographic Institution turut menjelaskan, apabila air berat berkumpul di atas iceberg, ia akan menekan ke bawah dan meresap ke dalam rekahan ais.

Proses ini memperluas retakan sehingga menyebabkan bongkah ais pecah dalam proses yang dikenali sebagai pemecahan ais oleh air.

Fenomena ini dipercayai berlaku pada penghujung Disember dan awal Januari 2025. Selain itu sisa ais kecil yang terapung berhampiran iceberg utama menunjukkan berlakunya letupan rekahan.

Dr Christopher Shuman, saintis yang pernah berkhidmat dengan University of Maryland, Baltimore County di Amerika Syarikat mengatakan proses itu sebagai sebagai ‘blowout.’

Walaupun proses pecah dan cairnya iceberg seperti A23a merupakan fenomena semula jadi, saintis tetap memerhati dengan teliti.

Hal ini kerana beberapa bahagian Antartika kini kehilangan iceberg pada kadar lebih cepat daripada proses pembentukan ais baharu.

Iceberg besar seperti A23a juga dianggap sebagai makmal semula jadi yang bergerak. Melalui pemerhatian terhadap cara ia mencair dan berpecah, saintis boleh memahami cara rak ais Antartika mungkin bertindak balas terhadap peningkatan suhu global.

Rak ais ini memainkan peranan penting dalam menstabilkan lapisan ais Antartika.

Jika struktur ini runtuh dengan lebih cepat akibat pemanasan global, ia berpotensi mempercepat kenaikan paras laut di seluruh dunia.

Dalam tempoh 11 hari iaitu sehingga 22 Februari lalu, A23a yang semakin kecil bergerak lebih 700 kilometer ke arah timur laut merentasi Atlantik Selatan dengan kelajuan purata sekitar 2.7 kilometer sejam.

Pergerakan ini membawanya ke kawasan laut yang jauh lebih panas, dengan suhu permukaan hampir 10 darjah Celsius.

Keadaan tersebut mempercepat proses pencairan dan Dr. Shuman mengibaratkan situasi ini seperti ketulan ais dalam minuman yang akhirnya akan hilang apabila berada terlalu lama dalam air yang lebih panas.

Imej satelit terkini menunjukkan iceberg tersebut terus mengalami rekahan baharu dan perkembangan ini menjadi tanda bahawa perpecahan besar mungkin berlaku pada bila-bila masa.

Pada 5 Mac lalu, keluasan A23a dianggarkan tinggal sekitar 180 kilometer persegi.

Apabila saiznya mengecil kepada kira-kira 70 kilometer persegi, saintis akan berhenti menjejak pergerakannya. Dengan kadar pencairan semasa, detik itu dijangka berlaku tidak lama lagi.

Oleh itu, dalam beberapa minggu sahaja, kemungkinan besar semua sisa iceberg yang pernah menjadi gergasi lautan itu akan lenyap sepenuhnya.

Namun begitu, perjalanan A23a selama hampir 40 tahun meninggalkan banyak data penting kepada saintis.

Daripada bongkah ais gergasi kepada serpihan yang semakin hilang, A23a memberikan gambaran jelas bahawa dunia ais di Antartika sedang berubah.

BERITA LAIN

Pawagam China bukan sekadar tempat tonton filem

BEIJING: Nilai pengeluaran keseluruhan rantaian industri perfileman China dianggarkan mencecah 480 bilion yuan (RM294 bilion) sejak awal tahun ini, sekali gus menandakan pertumbuhan yang mampan.

BERITA TERBARU