KUCHING: Perjanjian damai antara Amerika Syarikat dengan Iran mampu menstabilkan harga minyak dunia serta meredakan masalah ekonomi global yang menjejaskan banyak negara, kata Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan itu berkata, penutupan laluan Selat Hormuz mendorong ketidaktentuan global termasuk kenaikan harga minyak.
“Harga bahan api dan harga minyak melonjak naik apabila Selat Hormuz ditutup, sekali gus memberi tekanan kepada ekonomi dunia.
“Justeru, kita mengharapkan agar kedua-dua pihak dapat mencapai kedamaian kerana isu ini menjejaskan banyak pihak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Memperingati Ulang Tahun ke-200 Saintis dan Pengembara Hungary, Janos Xantus di Pustaka Negeri Sarawak, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Abdul Karim melahirkan rasa pesimis kerana langkah untuk menamatkan peperangan antara kedua-dua pihak berkenaan tidak semudah yang dijangkakan.
“Semua orang tahu bahawa Presiden Amerika Syarikat Donald Trump kerap berubah-ubah… hari ini lain, esok lain.
“Ditambah lagi, konflik tersebut turut melibatkan Amerika Syarikat dan Lubnan yang mana kita tahu bahawa Iran mempunyai penyokong di selatan Lubnan.
“Selain isu Israel yang berterusan mengebom dan menceroboh Lubnan, saya tidak yakin bahawa isu ini akan selesai dengan mudah,” katanya.
Bagaimanapun, Abdul Karim tetap menaruh harapan agar perdamaian dapat dicapai kerana masyarakat antarabangsa mengharapkan usaha diplomatik berkenaan mampu membawa keamanan berkekalan demi kestabilan ekonomi dan kesejahteraan global.
“Kita harap usaha mereka untuk berdamai kekal agar keadaan terus damai dan reda seperti ini,” katanya.
Sementara itu, Memorandum Persefahaman (MoU) antara Amerika Syarikat dengan Iran yang ditandatangani pada Rabu lalu mengandungi 14 perkara utama yang menjadi asas kepada usaha menamatkan konflik antara kedua-dua negara sejak mula berperang pada 28 Februari 2026.



