NANJING: Pemeteraian Perjanjian Rangka Kerja bagi pembangunan Hab Rendah Karbon Kuching (KLCH) antara Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) dan China Jiangsu International (CJI) mencerminkan kerjasama kerajaan dengan kerajaan (G2G) yang penting antara Jiangsu dan Sarawak, sekali gus mengukuhkan peranan mereka sebagai rakan dipercayai dalam kerjasama tenaga dan perindustrian serantau.
Pengerusi PETROS, Tan Sri Datuk Amar Hamid Bugo berkata, melalui kerjasama strategik itu, Sarawak akan memperkukuhkan rangkaian global, memanfaatkan kepakaran antarabangsa untuk membina kapasiti tempatan dan meletakkan Kuching sebagai hab perindustrian rendah karbon yang ideal di Asia Tenggara.


“Kita berusaha memperkukuhkan kerjasama dengan CJI melalui pemeteraian Perjanjian Rangka Kerja, satu langkah maju dalam usaha bersama mereka bentuk dan membina taman perindustrian berwawasan masa depan di Sarawak,” katanya ketika berucap pada majlis menandatangani Perjanjian Rangka Kerja KLCH antara PETROS dan CJI di ibu pejabat CJI, di sini, hari ini.
Pemeteraian Perjanjian Rangka Kerja KLCH antara PETROS dan CJI itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETROS, Dato Janin Girie dan Presiden CJI, Zhu Xingbao.
Upacara tersebut turut disaksikan oleh Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy & PETROS) Datuk Ibrahim Baki dan Pengerusi China Jiangsu International Economic Technology Cooperation Group Ltd, Song Qinbo.
Selain itu, Hamid berkata pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) dengan tujuh pelabur berpotensi, yang semuanya telah menyatakan hasrat untuk melabur sumber dan kepakaran dalam membangunkan taman perindustrian di KLCH bersama CJI dan PETROS, merupakan testimoni kukuh terhadap keupayaan CJI menarik pelaburan.
Justeru, katanya, ia akan menjadi elemen penting dalam membina ekosistem perindustrian yang berkembang maju dan berhubung secara global.
“CJI dan PETROS akan memanfaatkan amalan terbaik global dan menggabungkannya dengan kekuatan unik Sarawak bagi memajukan aspirasi kita untuk KLCH,” katanya.
Terdahulu, Hamid berkata pada Mei tahun ini PETROS secara rasmi memilih CJI sebagai salah satu daripada dua rakan saham teras untuk membangunkan sebuah taman perindustrian dalam KLCH.
Beliau berkata, pemilihan itu dibuat selepas proses penilaian yang ketat dan berasaskan data bagi memastikan rakan kerjasama paling sesuai dapat dikenal pasti.

Katanya bagi memastikan pemilihan rakan saham teras yang tepat, PETROS telah menjalankan penilaian landskap menyeluruh serta libat urus dengan lebih 300 pemain antarabangsa, menilai mereka berdasarkan kepakaran teknikal, kekuatan kewangan dan penjajaran dengan visi Sarawak untuk membangunkan ekosistem perindustrian berinovasi rendah karbon.
“Daripada kelompok ini, kami mengadakan perbincangan terperinci dengan lebih 60 pelabur berpotensi, dengan 21 syarikat menyatakan minat kukuh untuk menyertai KLCH.
“Satu penilaian kesepadanan strategik kemudian dijalankan, mengenal pasti empat syarikat berpotensi tinggi. Selepas hampir dua tahun penilaian sistematik, kami memilih dua syarikat sebagai rakan saham teras berdasarkan penjajaran kukuh mereka dengan kriteria pemilihan kami, dan CJI merupakan salah satu daripadanya,” katanya.
Menjelas lanjut, Hamid berkata CJI dipilih berdasarkan kelebihan utama mereka, termasuk keupayaan kewangan kukuh untuk melabur, rangkaian luas bagi menarik pelaburan bernilai tinggi dari China dan peringkat antarabangsa, rekod pencapaian yang terbukti dalam melaksanakan projek berskala besar dan kompleks secara selamat, komitmen terhadap penyertaan Sarawak dan pembangunan bakat tempatan serta tawaran nilai unik yang selaras dengan matlamat pembangunan jangka panjang Sarawak.







