KUCHING: Perjuangan pasukan boling padang Sarawak secara rasminya berakhir selepas gagal melayakkan diri ke pusingan separuh akhir dalam acara yang dipertandingkan dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA), hari ini.
Walaupun memberikan yang terbaik, barisan atlet yang menyertai acara berempat lelaki, perseorangan lelaki, bertiga wanita dan beregu wanita tidak layak mara selepas tewas di tangan pesaing masing-masing.
Menurut penolong ketua jurulatihnya, Nur Fitri Rosmadi, disebalik kekecewaan itu beliau tetap melahirkan rasa bangga dengan persembahan barisan pemainnya.

Ujarnya, walaupun menaruh harapan tinggi terhadap pasukan berempat lelaki berdasarkan prestasi cemerlang dalam saingan sebelum ini, namun beliau akur dengan keputusan yang diperoleh.
Dalam saingan hari ini, perseorangan lelaki tumbang kepada Pulau Pinang dengan 16-21, bertiga wanita tewas kepada Kedah dan Pulau Pinang dengan 12-18 dan 12-15, manakala beregu wanita kalah 10-17 kepada Wilayah Persekutuan.
Di samping itu, pasukan berempat lelaki menang ke atas Melaka dengan kutipan mata 12-6, tetapi gagal dalam saingan kelayakan ke separuh akhir kepada Kedah dengan 9-13.
Untuk rekod, skuad boling padang Sarawak pada 16 Ogos lalu berjaya memperoleh pingat emas dalam acara perseorangan wanita dan perak dalam acara beregu lelaki, manakala pada 19 Ogos regu campuran memperoleh pingat perak.



