Perjuangan masih belum selesai

SANTUBONG: Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Sarawak perlu mengekalkan rentak juangnya demi meneruskan agenda membantu masyarakat luar bandar.

Mantan Pengarahnya Mohd Zamri Mustajab berkata, agenda tersebut perlu diteruskan agar mereka terus mengecapi arus pembangunan.

“Sama ada pemimpin baharu atau lama, perjuangan itu tidak harus terhenti walaupun program atau aktiviti kita jauh di pedalaman.

“Saya berharap Kemas Sarawak dapat meneruskan agenda membantu masyarakat luar bandar sungguhpun dengan pengemudi baharu selepas ini.

“Ini penting dalam mengekalkan rentak perjuangan kita agar organisasi Kemas Sarawak terus cemerlang,” katanya pada Majlis Perpindahannya dan Timbalannya Dayang Monalizawati Abg Ismail (Pendidikan Awal Kanak-kanak) di Santubong.

Mohd Zamri berkata, ini penting agar usaha untuk memberi pendidikan kepada anak-anak luar bandar diteruskan dengan sebaik-baiknya.

“Kita yakin jika usaha ini diteruskan, nescaya hubungan rapat

Kemas dengan masyarakat setempat akan sentiasa akrab dan terjalin baik,” ujarnya.

Zamri yang mengemudi Kemas Sarawak dalam tempoh 801 hari merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada seluruh warganya atas segala kerjasama yang diberikan selain pengalaman yang diperoleh.

Tambahnya, bertugas di Sarawak memberikan satu cabaran yang sukar kepadanya ekoran faktor geografi serta keluasannya yang hampir sama dengan Semenanjung.

Sementara itu, Monalizawati mengakui sepanjang lima tahun berkhidmat di Kemas Sarawak, banyak ilmu baharu diperolehi serta pengalaman suka serta duka ketika menjalankan tugas.

Selepas ini, Zamri akan meneruskan khidmatnya di Unit Dasar Ibu Pejabat Kemas Malaysia, manakala Monalizawati berpindah ke Institut Kemajuan Desa (Infra) Sarawak.

Terdahulu Penolong Pengarah Kemas Sarawak Fatimah Rosli berkata, perpindahan Zamri dan Monalizawati akan memberikan tamparan hebat kerana warga Kemas Sarawak masih memerlukan komitmen dan kepimpinan mereka untuk mencapai misi dan visi Kemas dengan lebih cemerlang.

Suara Sarawak