ARTIKEL

Perjuangan Siti Norkiah

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Tajuk buku: Siti Norkiah Mahmud: Srikandi dari Pahang Utara

Penulis buku (editor): Mohamed Salleh Lamry

Penerbit: Strategic Information and Research Development (SIRD) Centre

Harga: RM25

Halaman: 177

PERKARA yang banyak dikupas dalam buku ini adalah tentang gerakan politik antikolonial Siti Norkiah Mahmud di Pahang dan gerakan politik kiri beliau di utara Pahang selepas berakhirnya Perang Dunia Kedua.

Gerakan antikolonial di Pahang bermula pada 1891, yang menentang campur tangan Inggeris di negeri tersebut.

Campur tangan Inggeris

Menurut buku ini, campur tangan Inggeris di Pahang bermula pada 1887 untuk melindungi kepentingan rakyat Inggeris, terutamanya golongan saudagar pada masa itu.

Dalam Perjanjian Pahang– Inggeris 1887, seorang wakil Inggeris ditempatkan di Pahang untuk menasihati sultan dalam hal pemerintahan dan pentadbiran.

Selepas seorang rakyatnya terbunuh, Inggeris memaksa Sultan Pahang menerima Residen Inggeris di Pahang yang mempunyai kuasa yang luas dalam Kerajaan Pahang, kecuali berkaitan hal ehwal Islam dan adat istiadat Melayu.

Hal ini menyebabkan kuasa Sultan Pahang semakin terhakis serta mengubah status Pahang daripada negeri merdeka menjadi jajahan Inggeris.

Penentangan

Campur tangan Inggeris itu mendapat tentangan daripada para pembesar dan muncul gerakan penentangan bersenjata di Temerloh yang dipimpin oleh Datuk Bahaman sebelum merebak ke daerah lain.

Penentangan tersebut memberi inspirasi kepada Siti Norkiah, yang mulai terlibat dalam perjuangan kemerdekaan pada 1946.

Menurut buku ini, pada 1948, Abdullah C.D. menubuhkan lasykar rakyat dan memimpin mereka menentang penjajah secara perang gerila. Antara orang pertama yang dijumpainya ialah Kamarudin,  Tok Empat Husin, Ibrahim, Pak Andak Latif, Siti Norkiah, Raimah, Hajah Zaharah, Siti Teh dan Osman Abadi daripada pelbagai gerakan yang menentang Inggeris.

Penerangan daripada buku ini menyatakan bahawa Siti Norkiah berasal daripada keluarga pejuang, apabila bapa, bapa saudara, adik-beradik, adik ipar dan suaminya turut terlibat dalam perjuangan kemerdekaan.

Mereka berjuang menuntut kemerdekaan Pahang daripada penjajahan Inggeris yang semakin berleluasa pada masa itu.

Perjuangan

Buku ini memberitahu bahawa perjuangan Siti Norkiah bermula pada 1946 apabila beliau menjadi ahli jawatankuasa Angkatan Wanita Sedar (AWAS) Benta sebelum dilantik menjadi Ketua AWAS Pahang.

Selepas parti kiri, termasuk AWAS, diharamkan pada 1948, beliau melibatkan diri dalam perang gerila anti-British dan menempuh pelbagai kesukaran, malah menjadi buruan askar British.

Walau bagaimanapun, perjuangan bersenjata anti-British tidak dapat diteruskan di tanah air dan hal itu memaksa mereka berpindah ke sempadan Malaysia–Thailand untuk meneruskan perjuangan tersebut.

Akibat penentangan itu, Inggeris mengisytiharkan undang-undang Darurat serta memburu dan menangkap pemimpin dan ahli aktivis gerakan kiri.

Menurut buku ini, kerana tidak mahu ditangkap, Siti Norkiah terpaksa bersembunyi dan menjadi buruan Inggeris.

Tidak lama selepas undangundang Darurat diisytiharkan, Abdullah C.D. datang ke Benta dan membentuk pasukan bersenjata Melayu.

Beliau merekrut  bekas ahli Angkatan Pemuda Insaf (API), AWAS dan PETA sebagai lasykar rakyat, termasuk Siti Norkiah, serta memberi mereka latihan asas ketenteraan.

Beberapa minggu kemudian, Abdullah C.D. terpaksa kembali ke Temerloh kerana pemimpin gerakan di situ telah ditangkap.

Selepas pemergian beliau, banyak ahli lasykar rakyat ditangkap dan Siti Norkiah berjaya melarikan diri serta terpisah daripada kawankawannya.

Hal ini menyebabkan beliau terpaksa bergerak seorang diri dan bersembunyi, walaupun tidak mempunyai senjata, beliau tetap berperanan menyusun massa.

Buku ini turut menyebut bahawa Siti Norkiah pernah menghabiskan hampir empat dekad bersama Rejimen Ke-10 di kawasan selatan sempadan Thailand.

Beliau telah menghabiskan kira-kira 15 tahun menjalankan aktiviti menyusun massa dan mengakhiri zaman jandanya dengan berkahwin bersama Abu Samah Mohd Kassim.

Turut dikongsikan oleh buku ini, Siti Norkiah adalah salah seorang daripada empat wanita dari Rejimen Ke-10 yang pernah menyertai tiga pasukan penggempur yang beroperasi di Kelantan dari 1969 hingga 1976.

Pasukan tersebut termasuk Pasukan Propaganda Khas (1969), Pasukan Merdeka (1970–1972) dan Pasukan Penggempur Ke-14 (1973– 1976), yang diketuai oleh suaminya sendiri, Abu Samah.

Perdamaian

Menurut buku ini juga, sebelum perdamaian pada Disember 1989, Siti Norkiah dapat berhubung kembali dengan bapanya, Mahmud Baginda, selepas hampir tiga dekad terputus hubungan.

Beliau juga berjaya berhubung dengan adiknya, iaitu Haji Mokhtar, serta menjadi wakil Rejimen Ke-10 dalam rundingan peringkat rendah dengan kerajaan Malaysia.

Haji Mokhtar bukan sahaja berjumpa dengan kakaknya, tetapi mencadangkan kepada Rejimen Ke-10 untuk menamatkan peperangan melalui satu rundingan damai dengan Kerajaan Malaysia yang dikenali sebagai “perundingan ala-Baling”.

Daripada situlah bermulanya Perjanjian Perdamaian antara Rejimen Ke-10 dengan Parti Komunis Malaya (PKM) dengan Kerajaan Malaysia dan Thailand.

Perundingan tersebut penting dan bersejarah kerana menamatkan peperangan antara PKM dengan Kerajaan Malaysia yang berlangsung lebih daripada lima dekad.

Selepas perdamaian, Siti Norkiah dan suaminya serta dua orang daripada Rejimen Ke-10, iaitu Abdullah C.D. dan Rashid Maidan bersama isteri masing-masing, memilih menetap di Thailand.

Mereka sesekali datang ke Malaysia untuk mengunjungi ahli keluarga dan Siti Norkiah serta suaminya turut mengambil kesempatan itu untuk menunaikan haji.

BERITA LAIN

Berdamai dengan luka kehidupan

Tajuk: Catatan Hidup Seorang Perempuan yang Hampir Berputus Asa Penulis: Arlina Arshad Penerbit: IMAN Publication Jumlah halaman: 178 muka surat Catatan Hidup Seorang Perempuan yang

Bukan sekadar kisah cinta

Judul buku: Kita Cuma Kawan, Kan? Penulis: Auni Zainal Tahun terbit: 2024 Jumlah muka surat: 544 Harga: Rm34.00 Pengulas: Prisca Robin  Setebal 544 muka surat,

BERITA TERBARU