MENJADI lumrah dunia, lelaki atau perempuan pasti ramai yang mahu bercinta, berkahwin dan bahagia sehingga akhir hayat.
Namun, tidak semua dapat mencapai impian mereka.
Ada mungkin tidak tahu mencari pasangan atau bercinta.
Manakala ada yang bercinta, namun putus di tengah jalan.
Ada yang perkahwinannya hanya bertahan beberapa bulan.
Ada juga yang menjadi duda atau janda pada usia muda.
KENAL PASANGAN
Ada orang kata, bercinta selepas kahwin lebih baik.
Ya, mungkin benar kerana bercinta sebelum berkahwin ini cabarannya amat besar, jika tidak kawal diri mungkin mengundang maksiat.
Namun, ia bukan bermakna kita tidak perlu mengenali bakal pasangan kita dengan lebih mendalam dan hanya mahu mengenalinya setelah berumah tangga.
Dalam mencari pasangan hidup, adalah penting untuk kita mengenali dan mengetahui latar belakang bakal pasangan.
Sekurang-kurangnya berkawan dengan dia dan dalam tempoh itu pastikan kita betul-betul kenal isi budi hati masing-masing.
Cari sejarah hidup dia, tahu siapa keluarganya, kawan-kawannya, tahu minatnya, cara pemikirannya serta mentalitinya.
Selepas kita rasa ia dapat diterima, baharulah pertimbangkan untuk menjadikannya sebagai teman hidup.
Nak cari orang yang akan hidup dengan kita, duduk serumah, sebilik, sekatil dengan kita kalau boleh sampai akhir hayat bukan macam pilih ikan di pasar.
Biasanya orang tua selalu menasihati kita untuk mencari orang yang sekufu atau ada perkaitan dengan hidup kita.
Ya, orang tersebut mesti sekurang-kurang ada dalam lingkaran yang sama dengan kita.
Paling penting, pasangan haruslah saling melengkapi.
Sekurangkurangnya kita harus mengurangkan risiko untuk berkahwin dengan orang yang tidak sesuai sehingga akhirnya berakhir dengan pergaduhan, malah penceraian.
Sebab tu biasa kita tengok atlet berkahwin dengan atlet, artis berkahwin dengan artis, doktor berkahwin dengan doktor, cikgu berkahwin dengan cikgu dan begitu juga dengan sebaliknya.
JODOH
Ramai mencari jodoh dalam lingkaran mereka sendiri sebab mereka biasanya kenal antara satu sama yang lain.
Lebih mudah memahami kerjaya, minat dan cara hidup serta mempunyai lebih banyak persamaan berbanding perbezaan.
Mungkin agak sukar nak bayangkan jika seorang ustaz berkahwin dengan ahli sukan, atau penyokong tegar UMNO berkahwin dengan penyokong kuat PKR.
Namun, ia tetap berlaku. Lingkarannya amat berbeza antara satu sama yang lain.
Mungkin mereka berkahwin pun sebab masih ada perkaitan seperti sama sekolah, sama universiti.
Semua ini tiada masalah, yang penting rasa serasi.
Maka, kalau ada perasaan suka dengan mana-mana individu yang baru dikenali di kedai minum, media sosial atau di laman cari jodoh, jangan kenal seminggu dua dah putuskan untuk berkahwin, kononnya mahu bercinta selepas berkahwin.
Tetapi seeloknya, ambillah masa untuk kenal, selidik latar belakang, ambil tahu siapa keluarga dan kawan-kawannya.
Kalau boleh ambil tahu pekerjaannya, minat, hobi dan sebagainya.
Jangan selepas berkahwin, baru tahu rupa-rupanya suami anda songsang atau panas baran, atau isteri anda masih isteri orang lain.
Kalau lepas kahwin baru ingat nak ubah pasangan ikut acuan kita, jangan terlalu berharap kerana ia agak rumit.
Jangan kahwin sebab nak berubah, sebaliknya berubah dulu, baru berkahwin.



