SADONG JAYA: Usaha memperkasakan pendidikan al-Quran di Sarawak terus diperkukuh apabila Pusat Pengembangan al-Quran Darul Hana-Majlis Islam Sarawak (DHQc-MIS) bakal menubuhkan Akademi Qurra’ yang akan memulakan program perintis di Simunjan.
Ketua Pegawai Eksekutif DHQc-MIS, Mohamad Shalahuddin Marzuki berkata, akademi itu diwujudkan susulan perbincangan bersama pakar-pakar dan guru al-Quran bagi memperkukuh pembangunan bakat dalam seni bacaan al-Quran di negeri ini.
Menurut beliau, Akademi Qurra’ akan menyediakan latihan secara lebih sistematik kepada golongan muda menerusi bimbingan guru dan tenaga pengajar berpengalaman sebelum diperluas ke Samarahan, Gedong serta daerah-daerah lain di Sarawak.
“Hasrat kita adalah untuk melahirkan lebih ramai pakar al-Quran yang mampu menjadi pelapis dalam memperkembang syiar Islam di Sarawak serta memperkukuh penguasaan seni bacaan al-Quran mengikut kaedah yang sahih,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Tahsin Qiraat al-Quran Perdana di Dewan Sri Laila, SMK Pesantren Abdul Taib Mahmud, di sini hari ini.
Dalam pada itu, program tersebut menghimpunkan peserta dari Asajaya, Samarahan, Simunjan, Kuching dan kawasan sekitarnya bagi meningkatkan kefahaman serta memperbaiki bacaan al-Quran mengikut kaedah tartil.
Pada masa yang sama, beliau memaklumkan penganjuran program berkenaan juga selari dengan peranan DHQc-MIS sebagai agensi di bawah Majlis Islam Sarawak yang dipertanggungjawabkan memperkasa pendidikan, pembangunan dan pengembangan al-Quran di seluruh negeri.






