USAHA berterusan terhadap pendidikan khas perlu diadakan bagi memastikan kanak-kanak kelainan upaya (OKU) mendapat pendidikan berkualiti selaras keperluan unik.
Ia susulan setiap kanakkanak mempunyai hak untuk mendapat peluang sama seperti orang lain dan pendidikan khas membolehkan setiap pelajar memperoleh tahap kebebasan yang tinggi dan mencapai potensi penuh mereka.
Kanak-kanak ini tidak boleh disamakan dengan pelajar lembap atau individu kurang cerdik.
Disebabkan itu, semua guru serta ibu bapa harus menyedari bahawa setiap kanak-kanak mempunyai minat, kebolehan, kecerdasan dan pilihan pembelajaran yang unik.
Malah, penyedia penjagaan kanak-kanak dan keluarga perlu mengenal pasti sebarang kelewatan perkembangan kanakkanak supaya boleh mendapatkan sokongan yang tepat seawal mungkin dalam kehidupan.
Misalnya lebih banyak pusat pemulihan khusus untuk kanak-kanak diwujudkan untuk membantu golongan ini yang kurang sesuai menempatkan diri ke sekolah biasa (aliran perdana) atau Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).
Langkah ini bagi memastikan mereka tidak terus tercicir dalam bidang akademik mahupun kemahiran.
Menurut pakar psikologi kanak-kanak, Dr Noor Aishah Rosli, ibu bapa perlu menimbangkan beberapa faktor sebelum menempatkan anak mereka di sekolah atau pusat tertentu.
“Kanak-kanak OKU ini, apabila kita membuat penilaian, kita dapat kenal pasti kelemahan dan kelebihan mereka terutama apabila kita buat ujian IQ, ujian autisme dan ujian masalah gangguan hiperaktif defisit tumpuan (ADHD).
“Kanak-kanak yang ada isu IQ yang rendah kurang sesuai untuk ditempatkan di sekolah biasa tetapi, kanak-kanak ini juga tidak semestinya sesuai untuk di masukkan ke PPKI.
Ada antara mereka boleh menguasai sesuatu kemahiran.
“Contohnya kanak-kanak autisme yang saya jumpa hanya mengalami masalah sosial tetapi boleh belajar seperti kanak-kanak normal lain.
“Ringkasnya walaupun autisme tetapi dia boleh bercakap, ada perhubungan mata, faham arahan, boleh berdikari pergi tandas,” katanya yang juga pensyarah kanan di Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling Fakulti Pendidikan Universiti Malaya (UM).
Kerajaan Sarawak turut komited dalam menyediakan kemudahan pendidikan kepada kanak-kanak kurang upaya di negeri ini dalam usaha memberikan keselesaan sewajarnya kepada rakyat dengan adil dan saksama.
Ia dapat dilihat apabila sebanyak 27 Tadika SeDidik dari 98 pusat di seluruh negeri kini melatih seramai 63 kanak-kanak berkeperluan khas setakat 13 Oktober 2022.
Angka berkenaan kata Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Mohammad Razi Sitam merangkumi 19 kanak-kanak OKU dan 44 orang lagi masih dalam proses pendaftaran permohonan kad OKU.
Sebelum ini SeDidik tidak mengambil kanak-kanak berkeperluan khas kerana tiada pendidik terlatih dan kekurangan prasarana yang sesuai.
Namun begitu SeDidik kini mengamalkan dasar terbuka yang merupakan dasar inklusiviti yang bermaksud turut menerima kanak-kanak berkeperluan khas.
Sejajar polisi baharu ini, kementerian bersama SeDidik dengan kerjasama rakan strategik iaitu Pusat Genius Kurnia, OSEIC Sarawak dan Persekutuan Orang Pekak Malaysia merangka kurikulum latihan pendidik dan pengasuh.
Ia bagi memberikan mereka pengetahuan dan kemahiran bersesuaian membantu kanakkanak berkeperluan khas ini.
Mohammad Razi memberitahu latihan ini disasarkan kepada semua pendidik dan pengasuh SeDidik membabitkan 136 individu di seluruh negeri ini.
“Menjadi harapan kita agar semua pendidik dapat memanfaatkan peluang dalam usaha membantu kanak-kanak berkeperluan khas agar tidak ketinggalan dalam pendidikan bermula di tadika,” tegasnya.
Selain itu, tenaga pengajar yang akan mengajar di pusat pemulihan khas perlu daripada kalangan guru terlatih dan bukan sukarelawan yang diberikan elaun seperti di kebanyakan pusat pemulihan.
Ia penting bagi memastikan pencapaian matlamat iaitu tidak ada anak-anak OKU yang tercicir akibat tidak dapat memasuki aliran perdana atau PPKI.
Malah, pemilihan pelajar yang layak ke pusat itu juga perlu diberi perhatian agar setiap peringkat masyarakat dapat menikmati peluang yang sama, lebih-lebih lagi dengan tidak mengetepikan golongan B40.
Selain itu, ibu bapa akan mempunyai peluang dan pilihan untuk mendapatkan pendidikan terbaik untuk anak-anak sekiranya lebih banyak pusat atau sekolah kanak-kanak OKU dibuka, sama ada oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mahupun secara individu.
Bagaimanapun diharapkan agar pusat atau sekolah berkenaan tidak hanya dibuka di bandar besar sahaja dan yuran dikenakan juga perlu berpatutan dan tidak membebankan ibu bapa.




