ARTIKEL

Awang Tengah (kanan enam) merakam gambar kenangan bersama tetamu kehormat. GAMBAR: UKAS

Perkasa Kerjasama BIMP-EAGA Melalui Infrastruktur dan Tenaga Hijau

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

FILIPINA: Sarawak memainkan peranan aktif dalam kerjasama Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei Darussalam–Indonesia–Malaysia–Filipina (BIMP-EAGA) dengan menyeru negara anggota menyelaraskan dasar selaras matlamat menjadikan rantau ini lebih bersepadu.

Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menegaskan bahawa Sarawak terus komited untuk memperkukuh kerjasama serantau dan pertumbuhan ekonomi mampan di bawah rangka kerja BIMP-EAGA.

“Kerjasama antara negara anggota adalah penting dalam merealisasikan visi bersama rantau ini untuk menjadi BIMP-EAGA yang makmur dan berdaya tahan.

“Kerjasama kita mesti difokuskan pada penyelarasan dasar, peningkatan ketersambungan dan peningkatan fasilitasi sempadan.

“Justeru, Forum Ketua Menteri, Gabenor dan Kerajaan Tempatan (CMGLF) berada pada kedudukan unik untuk menyelaraskan matlamat BIMP-EAGA dengan agenda tempatan dan nasional,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED) berkata demikian semasa berucap pada Majlis BIMP-EAGA Ministerial Retreat di Samal Island semalam.

Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Kedua itu juga mendedahkan bahawa, Sarawak menjadi penggerak utama melalui beberapa projek infrastruktur utama yang akan memberi manfaat kepada pergerakan dan perdagangan di rantau ini.

“Projek-projek ini termasuk Lebuhraya Pan Borneo, Lebuhraya Pesisir Utara, kajian kebolehlaksanaan Kereta Api Trans-Borneo dan Pelabuhan Laut Dalam Tanjung Embang.

“Selain itu, laluan maritim baharu seperti Zamboanga–Sandakan dan Davao–Labuan dijangka mengurangkan kos logistik sehingga 30 peratus,” jelasnya.

Beliau turut berkongsi mengenai pengembangan tenaga boleh diperbaharui Sarawak yang menyasarkan 10 gigawatt (GW) menjelang 2030 dan 15 GW menjelang 2035 serta inisiatif dalam Penangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS).

“Ekonomi Biru dan Hijau juga penting sebagai model untuk pembangunan rendah karbon dan pertumbuhan mampan di rantau ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Awang Tengah menekankan kepentingan pembangunan modal insan melalui kerjasama Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta pelibatan sektor swasta.

Menurutnya, Sarawak juga berusaha memperkukuh hubungan pelancongan dan perdagangan menerusi Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak di Brunei (STATOB) serta pembukaan pejabat baharu yang akan dibuka di Kalimantan Barat.

Beliau pada masa sama memuji Majlis Perniagaan BIMP-EAGA (BEBC) yang menerajui projek strategik seperti Kad BEC dan hab penyatuan e-dagang di Sungai Tujuh.

“Sehubungan itu, saya mengajak semua ahli BIMP-EAGA untuk bekerjasama dalam membangunkan industri halal, berteknologi tinggi dan rendah karbon,” tambahnya.

Delegasi Sarawak yang turut hadir ialah Penasihat (PKS) MINTRED Sarawak, Datuk Sri Mohd. Naroden Majais, Pengarah Unit Perancang Ekonomi Jabatan Premier Sarawak, Datuk Lester Matthew; Setiausaha Tetap Kementerian Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Dzulkornain Masron; Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan Sarawak, Datuk Wong Hee Sieng; Ketua Pegawai Eksekutif Invest Sarawak, Timothy Ong; Konsul Jeneral Malaysia di Konsulat Jeneral Malaysia di Davao City, Deddy Faisal Ahmad Salleh serta pegawai kanan kementerian di Sarawak.

BERITA LAIN

Pawagam China bukan sekadar tempat tonton filem

BEIJING: Nilai pengeluaran keseluruhan rantaian industri perfileman China dianggarkan mencecah 480 bilion yuan (RM294 bilion) sejak awal tahun ini, sekali gus menandakan pertumbuhan yang mampan.

BERITA TERBARU