ARTIKEL

Perkasa nilai nurni karya generasi masa depan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

USAHA memperkukuh pembinaan sahsiah generasi muda melalui bahan bacaan berkualiti terus diperkasakan apabila Persatuan Karyawan Sastera Sarawak (PEKASA) dengan kerjasama Pergerakan Puteri Islam Malaysia (PPIM) Perhubungan Negeri Sarawak dan Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) menganjurkan Bengkel Penulisan Cerita Kanak-kanak Tahun 2026 di Hotel Samudera baru-baru ini.

Program yang berlangsung selama sehari ini menghimpunkan 55 peserta yang terdiri daripada pelajar sekolah menengah dan guru dari 15 sekolah sekitar Kuching, Padawan, Bau, Serian, Samarahan dan Lundu serta ahli PEKASA. 

Bengkel ini menjadi platform penting melahirkan lebih ramai penulis muda dan pendidik yang mampu menghasilkan karya kreatif berteraskan nilai murni, sejajar dengan aspirasi pembangunan modal insan negara.

Mengangkat tema penulisan cerita kanak-kanak berasaskan nilai murni, bengkel ini memberi penekanan kepada penghasilan karya yang bukan sahaja menarik dari sudut penceritaan, malah mampu membentuk akhlak, keperibadian dan jati diri kanak-kanak melalui mesej yang disampaikan.

Dalam era digital yang dipenuhi pelbagai bentuk hiburan dan lambakan maklumat tanpa sempadan, bahan bacaan berkualiti menjadi benteng penting dalam membimbing perkembangan emosi, pemikiran dan tingkah laku kanak-kanak. 

Justeru, cerita kanak-kanak tidak seharusnya dilihat sekadar medium hiburan, sebaliknya berperanan sebagai wahana pendidikan yang mampu menyemai nilai seperti hormat-menghormati, kasih sayang, amanah, keberanian, disiplin, tanggungjawab serta semangat bekerjasama.

Penganjuran bengkel ini juga bertepatan dengan hasrat untuk memperkaya khazanah sastera kanak-kanak tempatan yang beridentitikan Malaysia dan Sarawak. 

Dalam masa yang sama, usaha ini turut membuka ruang kepada penulis untuk menghasilkan karya yang dekat dengan kehidupan sebenar kanak-kanak yang berteraskan budaya tempatan serta nilai sejagat yang mampu membentuk masyarakat berakhlak mulia.

Aspek penulisan

Sepanjang bengkel berlangsung, peserta didedahkan dengan pelbagai aspek penulisan kreatif, termasuk pengenalan kepada dunia cerita kanak-kanak, teknik membina plot yang menarik, pembangunan watak yang berkesan, proses pemurnian manuskrip serta penggunaan ilustrasi berbantukan kecerdasan buatan (AI). 

Penggabungan teknologi moden bersama kreativiti penulisan membuktikan bahawa dunia sastera turut berkembang seiring dengan perubahan zaman tanpa mengabaikan nilai kemanusiaan.

Menurut penganjur bengkel, objektif utama bengkel itu bukan sekadar meningkatkan kemahiran menulis, malah menjadikan penulisan sebagai pendekatan pendidikan yang mampu menyampaikan mesej positif kepada masyarakat. 

Selain itu, peserta didorong untuk mengembangkan kreativiti, memperkukuh penghayatan terhadap nilai-nilai murni serta menghasilkan manuskrip yang berpotensi diterbitkan sebagai bahan bacaan kanak-kanak.

Pendekatan ini amat signifikan kerana kanak-kanak merupakan golongan yang mudah dipengaruhi oleh bahan bacaan yang mereka hayati. 

Cerita yang disampaikan secara kreatif akan lebih mudah meninggalkan kesan berbanding nasihat secara langsung. 

Nilai murni yang diterapkan melalui konflik, penyelesaian masalah dan perkembangan watak mampu membantu pembaca kecil memahami kepentingan membuat pilihan yang betul dalam kehidupan.

Lebih menarik, bengkel ini turut menghimpunkan murid dan guru serta karyawan awam dalam satu ekosistem pembelajaran yang saling melengkapi. 

Murid memperoleh bimbingan secara langsung daripada fasilitator berpengalaman manakala guru pula diberikan pendedahan bagi membolehkan mereka membimbing murid menghasilkan karya kreatif di sekolah masing-masing.

Pendekatan ini diyakini mampu mewujudkan kesinambungan usaha melahirkan penulis muda secara berterusan.

BERITA LAIN

Al-Quran panduan bentuk akhlak

Kejayaan mengkhatamkan al-Quran bukanlah pengakhiran perjalanan seorang Muslim untuk mendalami kitab suci itu, sebaliknya menjadi permulaan untuk memahami, menghayati dan mengamalkan ajarannya dalam kehidupan seharian.

UKIR SEJARAH GOLF WANITA

J ennifer Jane mencipta sejarah apabila dinobatkan sebagai juara sulung Damai Ladies Challenge yang julung kali diadakan di Damai Golf & Country Club barubaru ini.

BERITA TERBARU