EMPAT tahun lalu, Sarawak merekodkan 94,229 syarikat dan 3,158 Perkongsian Liabiliti Terhad (PLT) berdaftar menerusi Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Angka tersebut menunjukkan peningkatan lebih 100 peratus berbanding lima tahun sebelumnya iaitu pada 2017 dengan merekodkan PLT meningkat lebih 175 peratus daripada 1,146 pada tahun sama.
Justeru, usaha memperkasakan usahawan Sarawak kini dilihat semakin meningkat, ditambah lagi dengan misi Premier Sarawak yang termeterai dalam Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 (PCDS) 2030, sekali gus memainkan peranan memacu ekonomi Sarawak terus meningkat.
Bagi mencapai peringkat tinggi, sudah pasti ada liku-likunya, namun semua itu tidak akan terkubur sekiranya usahawan itu mempunyai tekad yang tinggi dan cemerlang.
Percaya kepada proses, semuanya bermula dari bawah dan jangan sekadar hangat-hangat tahi ayam.
Itulah ungkapan bernas Timbalan Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Datuk Dr Ripin Lamat bagi memupuk semangat lebih 400 belia yang hadir pada Seminar Usahawan Madani Asas Pembangunan Produk dan Perkhidmatan di Auditorium Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) kelmarin.
Tumpuan fokus ke arahnya, beliau antara individu penting dalam memperkasakan bidang usahawan di Sarawak berucap penuh semangat.
Semangatnya membara melihat penyertaan aktif seminar itu, lalu menyambung hujahnya dengan memuji semangat juang yang dipamerkan oleh para peserta itu yang menjadikan mereka berjaya suatu hari kelak.
Tegas Ripin, usahawan yang berjaya adalah seseorang yang cemerlang dari segi tingkah lakunya, di samping rasa komited terhadap majlis ilmu yang disediakan untuk mempelajari sesuatu ilmu perniagaan secara lebih besar.
“Syabas dan tahniah kepada anda semua.
Anda semua memberikan komitmen dan kesungguhan dengan menghadiri majlis ini yang sehari suntuk dilaksanakan.
“Komitmen dan kesungguhan ini merupakan ciri-ciri penting untuk seseorang itu berjaya.
Dalam erti kata lain, usahawan berjaya dan cemerlang. Ini menandakan satu elemen terbaik ada pada diri anda semua untuk menjadi seorang usahawan berjaya,” katanya.
Beliau dalam ucapannya turut memaklumkan, usahawan berjaya mampu menghadapi perubahan persekitaran perniagaan yang dianggap begitu dinamik.
Modal ilmu perniagaan yang menjadi asas kepada keusahawanan penting dalam mendepani perubahan persekitaran kompleks selari dengan peredaran zaman.
“Kini kita menghadapi arus teknologi dan perkara ini meningkatkan produktiviti kita dalam usaha memperluaskan pasaran.
“Sudah pasti ia bergantung kepada ketersediaan kita dan tentang penerimaan usahawan terhadap teknologi,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Ripin menegaskan, pihaknya juga melihat isu-isu semasa terutamanya membabitkan golongan pesara yang tertipu oleh sindiket penipuan.
Katanya, isu itu perlu segera ditangani dengan menggalakkan penyertaan golongan pesara ini mengikuti kursus keusahawanan.
Beliau berpendapat, usaha itu bukan sahaja akan menangkis perkembangan isu penipuan pesara malah menjadi pemangkin perkembangan bidang keusahawanan di negeri ini.
Bagi Ripin, pesara atau bakal pesara merupakan golongan berpotensi cemerlang dalam bidang keusahawanan.
Hal ini kerana katanya, golongan ini berpengalaman luas dalam bidang persekitaran selain mempunyai modal kewangan yang boleh dikatakan stabil.
“Kami ada terfikir suatu hari nanti ada agensi atau kementerian memikirkan untuk mewujudkan usahawan senior kepada mereka yang terdiri daripada golongan berpencen atau menghampiri alam pencen.
“Mereka ada modal, kewangan ada, dan ini merupakan salah satu faktor penting untuk memulakan perniagaan.
Jadi mungkin ia boleh diwujudkan menerusi programprogram khas untuk usahawan senior,” katanya.
Tambah Ripin, dengan adanya usahawan senior ini, sudah pasti mampu meningkatkan penyertaan usahawan muda untuk berkecimpung dengan lebih aktif, selain menjadi platform untuk menyebarkan bidang keusahawanan dalam kalangan anak-anak.
Sementara itu, pelibatan Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) ke Sarawak membuktikan Bumi Kenyalang kian menjadi tumpuan dalam bidang tersebut.
Baru-baru ini, INSKEN menubuhkan cawangan di negeri ini, dipercayai bertujuan membantu usahawan-usahawan Sarawak memperkembangkan produk mereka di samping meningkatkan produktiviti usahawan tempatan.
Untuk rekod, seramai 1,046 usahawan dari negeri ini menyertai program INSKEN dan daripada jumlah tersebut, 119 dibimbing menerusi program INSKEN Bumiputera Business Coaching (IBBC) dan berjaya mencatat RM1.9 juta peningkatan jualan.
Selain itu, sejumlah 93 penambahan pekerjaan baharu dan 10 usahawan yang lain berjaya tingkah status mikro kepada kecil.



