KUCHING: Delegasi dari Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), yang diketuai oleh CEO, Izwan Zainuddin, membuat kunjungan hormat ke pejabat korporat Sarawwak Metro baru-baru ini.
“Kunjungan ini merupakan susulan untuk membincangkan dengan lebih terperinci mengenai kerjasama dalam meningkatkan penglibatan kontraktor Bumiputera dalam projek Sistem Pengangkutan Perbandaran Kuching (KUTS),” ujar kenyataan yang dimuat naik dalam Facebook Sarawak Metro.
Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua belah pihak membincangkan pelbagai inisiatif yang dapat dilaksanakan untuk memperkasakan kontraktor Bumiputera.

Antara topik yang dibincangkan termasuk penyediaan latihan dan sumber daya yang diperlukan untuk memastikan pihak kontraktor dapat bersaing dengan lebih efektif dalam projek-projek besar.
Izwan Zainuddin menekankan sokongan berterusan dari pihak PUNB untuk membangunkan ekosistem yang menyokong pertumbuhan dan kejayaan kontraktor Bumiputera.
Beliau percaya bahawa kerjasama ini tidak hanya akan memberikan manfaat kepada kontraktor Bumiputera, tetapi juga akan menyumbang kepada pembangunan ekonomi tempatan dan meningkatkan kualiti perkhidmatan dalam projek KUTS.
“Pihaknya juga berharap dapat meneruskan perbincangan ini dan menjalin kerjasama yang lebih erat di masa hadapan,” ujar beliau lagi.



