ARTIKEL

MAJID Amit merakamkan foto bersama-sama peserta Program Latihan Pembangunan Pekebun Kecil Kelapa Sawit di Saratok. Foto: OSMAN RAZALI

Perkasakan pertanian, agromakanan Kalaka

OSMAN RAZALI

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SARATOK: Sebanyak lima sumber suntikan dana dimanfaatkan bagi memperkukuh pembangunan serta merancakkan sektor pertanian dan agromakanan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka Mohamad Duri berkata, antara sumber utama pembiayaan ialah peruntukan Kerajaan Sarawak yang disalurkan menerusi Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA).

Menurutnya, projek di bawah sektor pertanian dan agromakanan bernilai RM6.6 juta telah berjaya disiapkan, termasuk kerja menaik taraf jalan ban, pembersihan sistem pengairan, penambahbaikan serta pembinaan baharu pintu air di kawasan skim milik Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

“Selain itu, projek agromakanan dan utiliti bernilai RM28 juta masih dalam pelaksanaan, manakala tujuh lagi projek kini berada pada peringkat akhir reka bentuk sebelum ditender pada tahun ini,” katanya ketika merasmikan Program Latihan Pembangunan Pekebun Kecil Kelapa Sawit di sini semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ahli Majlis Daerah Saratok Kaunselor Majid Amit Zainuddin.

Mohamad berkata, satu lagi sumber dana Kerajaan Sarawak diperoleh menerusi Program Transformasi Luar Bandar (RTP), yang memperuntukkan RM5 juta setiap tahun bagi menaik taraf jalan konkrit ke kawasan kebun serta membina laluan lintasan bagi memudahkan pengangkutan hasil pertanian.

Beliau berkata, sektor pertanian dan agromakanan di DUN Kalaka juga menerima sokongan daripada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) melalui pelaksanaan Projek Jalan Perhubungan Desa (JPD), yang dipohon setiap tahun oleh ADUN termasuk bagi pembinaan jalan pertanian.

“Bantuan turut disalurkan melalui Kementerian Ekonomi menerusi Pusat Khidmat ADUN Kalaka dan Pejabat Daerah Saratok.

“Pejabat Pembangunan Negeri (SDO) juga memainkan peranan penting apabila kebanyakan rumah panjang dan kampung menerima manfaat daripada projek-projek bernilai di bawah RM200,000,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap semua projek yang dilaksanakan melalui kelima-lima sumber peruntukan tersebut terus memacu kemajuan serta memperkasakan sektor pertanian dan agromakanan di kawasan berkenaan.

Program yang dianjurkan oleh Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Cawangan Saratok dengan kerjasama Solidaridad Network (Malaysia) Berhad itu bermula seawal jam 9.00 pagi dan diisi dengan pelbagai pengisian bermanfaat.

Antara slot yang diadakan ialah pengenalan kepada Solidaridad, Amalan Pertanian Baik (GAP) dalam pengurusan perladangan mengikut piawaian Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO), amalan baik penanaman dan penuaian, serta perkongsian berkaitan nutrisi tanaman dan kaedah pembajaan.

Turut diadakan ialah taklimat oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) mengenai teknik penuaian, pengurusan perosak dan rumpai, selain penerangan berhubung pelaksanaan MSPO 2.0 termasuk aspek Habitat Bernilai Pemuliharaan Tinggi (HCV/HCU) serta pelbagai integrasi pertanian.

“Melalui program latihan seperti ini, para pekebun kecil kelapa sawit berpeluang menambah ilmu pengetahuan dan meningkatkan kemahiran dalam bidang penanaman sawit yang lebih mampan dan produktif,” katanya.

BERITA LAIN

Perkukuh daya tahan ekonomi

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2027 bertujuan memperkukuh daya tahan ekonomi Malaysia, menyokong perubahan industri dan meningkatkan pembangunan tenaga kerja dalam sektor sarung tangan getah, kata Persatuan

Industri minyak dan gas perluas operasi

KUALA LUMPUR: Industri perkhidmatan serta peralatan minyak dan gas (OGSE) Malaysia di landasan tepat bagi fasa pertumbuhan selanjutnya dan perlu terus memperluas skala operasi, inovasi

BERITA TERBARU