KOTA SAMARAHAN: Perkembangan kecerdasan buatan (AI) yang semakin pesat perlu diimbangi dengan keupayaan manusia untuk berfikir, menilai dan membuat pertimbangan secara kritis terutama dalam kalangan generasi muda Sarawak.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, generasi muda perlu mempelajari, menggunakan dan menguasai AI, namun tidak bergantung sepenuhnya kepada teknologi dalam membuat keputusan.
Menurut beliau, AI mampu membantu menghasilkan jawapan dan idea, tetapi manusia tetap bertanggungjawab menentukan kebenaran, nilai dan aspek etika sesuatu perkara.
“Generasi anda akan hidup dalam era kecerdasan buatan.
Saya tidak mahu anak Sarawak takut kepada AI. Pelajari, gunakan dan kuasainya.
Namun, jangan sekali-kali menyerahkan kemampuan berfikir kepada teknologi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang disampaikan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Sri Roland Sagah Wee Inn pada Majlis Malam Akhir dan Penyampaian Hadiah Pertandingan Debat Premier Sarawak (PSDC) 2026 di Dewan Jubli, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak, di sini malam tadi.
Abang Johari berkata, semakin pintar teknologi berkembang, semakin penting manusia memiliki keupayaan menilai maklumat, berfikir secara kritis, menghasilkan idea baharu serta membuat pertimbangan yang tepat.
Katanya, kemahiran itu perlu dipupuk dalam kalangan generasi muda bagi memastikan teknologi kekal sebagai alat yang membantu manusia, bukannya menggantikan keupayaan manusia untuk berfikir.



