Perkembangan positif inap desa

KUCHING: Dalam usaha mengeratkan silaturahim antara komuniti setempat bersama penggiat industri pelancongan dan budaya, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia mengadakan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (SCR) di Inap Desa Kampung Darul Islam Belimbing, Padawan semalam.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia Datuk Isham Ishak bersama-sama 70 peserta dan komuniti serta jabatan yang terlibat.

Beliau berkata, objektif utama program tersebut ialah untuk melawat kembali selain melihat perkembangan terkini inap desa di kampung berkenaan.

“Melalui CSR ini, kita akan bersama-sama orang kampung dapat mengenali antara satu sama lain, memahami kehidupan mereka di sini selain melihat perkembangan terkini inap desa yang diusahakan di sini.

“Selain itu, kita juga akan melihat kelemahan yang ada menerusi penyelidikan dalam usaha menggalakkan lebih ramai pelancong datang di samping membantu meningkatkan produk pelancongan yang berkaitan yang dapat dimajukan di sini,” katanya berucap semalam.

Jelasnya, beliau turut memuji kampung berkenaan kerana berjaya menjayakan program inap desa selama 15 tahun hasil usaha ketua kampung berkenaan sebelum ini.

“Kita melihat inap desa di kampung ini berjaya untuk tahun ke-15 pada tahun ini. Ia kejayaan kepada salah satu matlamat kita iaitu pelancongan,” ujarnya

Selain itu, turut diadakan pameran inap desa dan pembuatan produk Tudung Keringkam Sarawak termasuklah produk kraf tangan yang lain seperti bakul anyaman.

Inap Desa Kampung Darul Islam Belimbing Islam Padawan ini terletak kira-kira 55 kilometer dari Kuching dan terkenal dengan aktiviti jejak hutan termasuk mempunyai tarikan semulajadi seperti bunga Rafflesia.

Sehingga Jun lalu, inap desa berkenaan mencatat kedatangan pelancong seramai 329 orang iaitu 244 orang ialah pelancong domestik, 85 orang pula ialah pelancong antarabangsa dengan jumlah pendapatan RM24,240.