ARTIKEL

Perkhemahan lasak bahasa Arab

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

LIMA puluh enam murid dari 17 sekolah di sekitar daerah Simunjan baru-baru ini menyertai Perkhemahan Bahasa Arab (Mukhayyam ‘Arabiy) Peringkat Negeri Sarawak Siri Satu selama tiga hari dua malam di Pusat Kokurikulum Negeri, Santubong.

Antara sekolah yang terlibat ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Tebelu, SK Padang Pedalai, SK Segali, SK Sungai Ladong, SK Abang Man, SK Sageng, SK Abang Kadir Gedong, SK Tanjung Pisang Selangking, SK Haji Bujang Sebangan, SK Tuanku Bagus Sebuyau, SK Lubok Punggor, SK Seruyuk, SK Sungai Ba, SK Sebuyau Ensengei, SK Gumpey, SK Lubok Buntin, SK Tungkah Melayu dan SK Iboi Pelanduk.

Perkhemahan ini merupakan anjuran pertama Unit Pendidikan Islam, Sektor Pembelajaran, Pejabat Pendidikan Daerah Simunjan di bawah seliaan Ustaz Iskandar Zulkarnain Arani dan Ustaz Juma@Jumat Jumalai.

Kesemua peserta yang terlibat ialah kumpulan sasar iaitu murid-murid yang mencapai tahap penguasaan lima atau enam dalam Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) khusus dalam mata pelajaran Bahasa Arab di sekolah masingmasing. Setiap sekolah yang terlibat juga menghantar tiga peserta.

Baca lain  Taman Negara Gunung Gading Lundu

Perkhemahan ini menyasarkan peningkatan kemahiran berbahasa Arab secara optimum dari segi penggunaan kosa kata yang dipelajari mengikut sukatan pelajaran dalam Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) tahun empat hingga enam.

Dalam pada itu, setiap slot aktiviti Latihan Dalam Kumpulan (LDK) dibantu empat fasilitator daripada kalangan guru yang mempunyai opsyen Bahasa Arab Pendidikan Rendah.

Antara LDK sepanjang perkhemahan ini termasuk aktiviti suai kenal ice-breaking, ikhtiar hidup, telefon rosak, teka bayang, lompat arah dan malam kebudayaan yang menyaksikan pelbagai jenis persembahan lakonan (hiwar), kalam jama’ie dan nyanyian dalam bahasa Arab.

Menjadi kelainannya, aktiviti-aktiviti ini dilaksanakan dalam bahasa Arab. Setiap slot diselangi dengan energizer yang memberi semangat kepada semua peserta terutamanya semangat dalam mencintai bahasa Arab, yang secara tidak langsung mengasah kemahiran mendengar dan kemahiran bertutur dalam bahasa Arab.

Dalam perkhemahan ini juga telah diciptakan sebuah lagu tema khas Mukhayyam ‘Arabiy yang menggunakan irama lagu Malam Pagi – Saixse.

Perkhemahan ini turut menyasarkan 80 peratus perbualan dalam bahasa Arab manakala baki 20 peratus menggunakan bahasa Inggeris atau bahasa Melayu. 

Baca lain  'TROFI KEPALA' DI ATAS KEPALA

Di samping menerapkan aktiviti-aktiviti berbahasa, perkhemahan ini juga menggarapkan kemahirankemahiran insaniah yang lain seperti berdikari, semangat berkumpulan, kreativiti, berani dan sebagainya dalam aktiviti yang lasak di Pusat Kokurikulum seperti wall climbing, flying fox dan beberapa aktiviti di setiap stesen obstacle run seperti Tarzan Swing, Terowong Gelap, Commando Crawl + Aspalier, Titian Puteri, Phone Lost & Running Tyre.

Setiap aktiviti ini dipandu oleh jurulatih utama Pusat Kokurikulum yang juga terdiri daripada guru-guru yang telah mendapat pentauliahan khas serta guru-guru pengiring dalam kalangan ustaz dan ustazah dari setiap sekolah yang mengambil bahagian.

Majlis Penangguhan Mukhayyam ‘Arabiy dihadiri Ketua Penolong Pengarah Kanan (KPPK), Sektor Pendidikan Islam Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak Ustaz Hossen Mahrip, Ketua Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah Simunjan Hasbi Ancheh dan Penolong Pengarah (Ketua Unit Dalaman) Pusat Kokurikulum Negeri Sarawak Mohamad Syafiq Abdullah.

Ustaz Hossen dalam ucapannya mahu peserta sentiasa menimba ilmu dan pengalaman, serta berusaha mempelajari bahasa Arab bukan setakat di sekolah rendah, malah boleh menyambung pelajaran tersebut di mana-mana sekolah agama di seluruh Sarawak semasa di peringkat menengah kelak.

Baca lain  Lelipan kaya khasiat perubatan

Beliau turut memuji Unit Pendidikan Islam, Sektor Pembelajaran Pejabat Pendidikan Daerah Simunjan atas tindakan proaktif memilih Pusat Kokurikulum sebagai pusat untuk menjalankan Perkhemahan Bahasa Arab ini yang menjadikan kem ini lebih mencabar dan menyeronokkan kepada semua peserta.

Hossen turut berkata, program kali ini merupakan program di luar kotak dan pertama kali diadakan sebegini dibandingkan dengan Mukhayyam ‘Arabiy yang lain.

“Kerana ia menggabungkan elemen perkhemahan lasak dan bahasa Arab yang memberi impak sangat positif kepada kemenjadian murid dan kecintaan kepada bahasa Arab,” katanya.

Secara keseluruhannya, Perkhemahan Bahasa Arab ini memberikan impak positif kepada kemenjadian murid terutamanya dalam peningkatan akademik khusus dalam subjek Bahasa Arab di daerah Simunjan.

Adalah diharapkan program seperti ini dapat terus berlangsung pada tahun-tahun mendatang berobjektifkan peningkatan penguasaan kemahiran berbahasa Arab dalam kalangan murid-murid sekolah rendah.

BERITA LAIN

Pengurusan rekod sistematik, efisien

SESI kunjungan hormat Ikmas ke Arkib Negara Malaysia Negeri Sarawak diketuai Timbalan Pengarah Ikmas, Abd Malek Ghazali dan disambut Pengarah Arkib Negara Malaysia Negeri Sarawak

Lawatan ke CENTEXS

SERAMAI 106 pelajar semester dua Diploma Dakwah Islamiyah mengikuti lawatan ke Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) diiringi enam pegawai Ikmas. Lawatan ini bertujuan memberi pendedahan

Kuih bongkol juadah istimewa Sarawak

KUIH bongkol tidak asing lagi bagi masyarakat Sarawak lebih-lebih lagi pada Ramadan lalu. Malah, kuih ini pasti menjadi salah satu hidangan wajib dijual oleh peniaga

Bertuntung gaya moden

TRADISI “bertuntung” dilihat semakin moden dengan gabungan lampu LED atau lampu liplap sebagai penyeri rumah pada 10 malam terakhir Ramadan sehingga Syawal di Sarawak. Tradisi

BERITA TERBARU

PDRM

Suspek kes amang seksual ditahan di Miri

SRI AMAN: Suspek lelaki dikehendaki polis yang disyaki melakukan amang seksual terhadap seorang kanak-kanak perempuan di kawasan tanah perkuburan lama, Kampung Kubal, Betong ditahan Jumaat

Pemancing udang jumpa mayat terapung

MIRI: Sembilan pemancing udang galah dikejutkan dengan penemuan mayat seorang lelaki dalam keadaan tidak sempurna di Sungai Kuala Baram di sini, hari ini. Ekoran itu,