KUCHING: Budaya integriti perlu diperkukuh dan dijadikan asas utama ketika Sarawak sedang berkembang pesat menuju status negeri maju dan makmur menjelang 2030, kata Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian.
Menurut beliau, kegagalan memelihara integriti ketika negeri ini memiliki sumber kewangan yang semakin besar akan meningkatkan risiko rasuah serta penyalahgunaan kuasa pada masa hadapan.
“Kepercayaan rakyat penting untuk memastikan apa yang dirancang benar-benar berlaku, bukan cakap kosong. Cakap kosong bererti tiada integriti dan tidak memahami apa yang diperkatakan.”
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Jelajah Integriti Sarawak Siri 46 Bilangan 3 Tahun 2026 Daerah Kuching di Dewan Serbaguna Kuari Ang Cheng Ho, Batu Kawa, di sini, hari ini.
Tambahnya, budaya integriti perlu dibentuk mulai sekarang supaya menjadi amalan dan budaya masyarakat pada semua peringkat.
“Transformasi kerajaan negeri di bawah pimpinan Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memerlukan sistem tadbir urus berintegriti.
“Justeru, penubuhan Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak tepat pada masanya untuk memperkukuh integriti dalam pentadbiran kerajaan.
“Kita kini bergerak ke era baharu yang lebih cemerlang demi kesejahteraan rakyat,” ujarnya
Tegasnya, integriti bukan sahaja melibatkan soal wang dan rasuah tetapi turut merangkumi integriti dalam politik, kepimpinan dan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan.



