Perlawanan persahabatan badminton, mengeratkan hubungan

LIMBANG: Persatuan Kelab Badminton Dream Team mengadakan perlawanan badminton persahabatan dengan masyarakat Kampung Limpaku Pinang di dewan Serbaguna Kampung Limpaku di sini semalam.

Pengerusi Kelab Badminton Dream Team Jamal Lamit berkata, perlawanan itu diadakan adalah untuk merapatkan hubungan silaturahim antara ahli kelab bersama dengan penduduk kampung.

Menurutnya, bersukan bukan sahaja untuk menyihatkan tubuh badan, malahan juga menjadi medium semangat kekitaan.

“Saya melihat, semangat bersukan ditunjukkan sepanjang perlawanan persahabatan daripada kedua-dua pihak.

“Hal ini bukan sahaja mengeratkan hubungan persahabatan kedua-dua pihak malah mampu melahirkan masyarakat sihat,” jelasnya semasa dihubungi.

Jamal berkata, selain daripada untuk mengeratkan silaturahim, tujuan perlawanan tersebut juga adalah untuk mereka merasai sendiri pengalaman pergi ke kampung yang hanya dapat diakses dengan menggunakan perahu.

Ujarnya, majoriti dalam kalangan ahli kelab tidak pernah pergi ke kampung itu lagi dan sememangnya pengalaman tersebut adalah satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan.

“Walaupun terpaksa menempuh perjalanan mencabar, menaiki perahu lebih dari setengah jam, namun semestinya pengalaman ini akan menjadi kenangan manis buat kami semua,” katanya.