KUCHING: Modul Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS) perlu segera diperkukuh, diperluas serta ditambah tempoh pengajaran dalam sistem persekolahan negara bagi mengekang peningkatan kes kehamilan remaja.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pihaknya sudah membawa isu tersebut untuk perhatian Majlis Sosial Negara, dengan cadangan supaya tempoh pengajaran PEERS ditambah dan diberi pendekatan lebih menyeluruh.
“Pada masa ini, kandungan kurikulum sedia ada sangat minimum dan tidak mencukupi. Sebab itu, kementerian menggesa supaya ia diperluas dan ditambah dengan melibatkan program berkaitan reproduktif.
“Ia penting agar menjadi subjek yang memberi pengetahuan jelas mengenai kesihatan reproduktif kepada pelajar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Program Gempak Inspirasi @ Sepagi Bersama Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) 2025 di sini, hari ini.
Beliau berkata, pendekatan itu diyakini membawa impak positif berdasarkan kajian United Nations Population Fund (UNFPA) pada 2020 yang menunjukkan pendidikan kesihatan mampu mengurangkan kes kehamilan remaja sehingga 49 peratus atau kira-kira 1,800 kelahiran dalam tempoh lima tahun.
Dalam pada itu ujarnya, kesedaran serta sokongan keluarga dan komuniti juga amat penting dalam melindungi remaja daripada terjerumus dalam masalah sosial.
“Fenomena ini berlaku di seluruh negara, sebab itu kita sentiasa bergerak dengan kerjasama pelbagai agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menganjurkan program-program kesedaran.
“Ia antara lain bertujuan memberi pendedahan kepada remaja serta ibu bapa mengenai isu kesihatan reproduktif,” tegasnya.
Mengakui statistik kes remaja hamil hanya berdasarkan rekod Kementerian Kesihatan, beliau tidak menolak kemungkinan jumlah sebenar isu tersebut adalah lebih tinggi kerana sebahagiannya tidak dilaporkan.
“PPWS misalnya akan terus mencari jalan melaksanakan lebih banyak program melalui pendekatan komuniti secara keseluruhan bagi memastikan ibu bapa dan masyarakat dapat bersama-sama memberi bimbingan kepada generasi muda,” tegasnya.
Terdahulu pada Khamis, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad mendedahkan, sebanyak 2,752 kes remaja hamil direkodkan di fasiliti kesihatan kerajaan pada 2024, meningkat 15 kes atau 0.5 peratus berbanding 2023.
Jelasnya, Sarawak mencatatkan kes tertinggi diikuti Sabah dan Pahang, manakala bagi tempoh Januari hingga Mac 2025 sahaja, 655 kes remaja hamil bawah 18 tahun telah direkodkan.
Kajian diterbitkan dalam Medical Journal of Malaysia pada 2015 turut mengesahkan bahawa kekurangan akses kepada pendidikan kesihatan reproduktif menyeluruh menjadi antara punca utama peningkatan kes kehamilan remaja di negara ini.
Sementara, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek pada Jun lalu memberitahu tempoh masa pengajaran bagi modul PEERS akan ditambah dalam pelaksanaan kurikulum persekolahan 2027, diajar bermula peringkat prasekolah hingga sekolah menengah.
Ujarnya, murid akan dilengkapi dengan maklumat serta kemahiran khususnya kecekapan psikososial untuk membuat keputusan termaklum dalam kehidupan harian, sebahagian daripada usaha advokasi berterusan kementerian menerusi program Generasi MADANI.






