KUCHING: Langkah Kerajaan Persekutuan melayakkan semua pelajar dengan 10A memasuki program matrikulasi tanpa sebarang perbezaan kaum perlu diperluas dan tidak terhad kepada matrikulasi sahaja.
Setiausaha Publisiti dan Maklumat Jawatankuasa Pusat Pemuda Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Kelvin Hii berkata, langkah ini perlu diperluas kepada kriteria kemasukan semua universiti awam dan pemberian biasiswa dengan menghapuskan sistem kuota sepenuhnya.
Kelvin menekankan, jika langkah ini dilaksanakan sepenuhnya, ia akan menjadi satu reformasi yang baik untuk pelajar di negara kita.
“Pada masa lalu, ramai pelajar bukan bumiputera tidak dapat memasuki universiti awam kerana kuota bukan bumiputera yang terhad dalam program matrikulasi dan kemasukan universiti.
“Ini menyebabkan ramai pelajar bukan bumiputera yang kurang berkemampuan terpaksa berhenti sekolah,” kata Kelvin yang juga Ketua Pemuda Cawangan SUPP Pujut.
Beliau menambah, ramai pelajar cemerlang terpaksa berkorban akibat sistem kuota, memaksa mereka menghadiri universiti swasta atau belajar di luar negara, yang mengakibatkan kehilangan bakat.
“Kini Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ikhlas mahu menghapuskan sistem kuota dalam program matrikulasi.
Saya berharap beliau juga akan menghapuskan semua kuota untuk kemasukan universiti dan biasiswa, mencapai kesaksamaan pendidikan sebenar.
“Beri semua pelajar Malaysia yang berprestasi cemerlang peluang memasuki universiti awam,” tegasnya.
Di bawah pimpinan Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, katanya, Sarawak telah memperkenalkan pendidikan percuma dan menubuhkan sekolah antarabangsa.
“Dasar-dasar ini seperti yang ditekankan oleh Premier, tidak termasuk sebarang sistem kuota.
Semua rakyat Sarawak, tanpa mengira kaum atau latar belakang kewangan, boleh memasuki sekolah yang diidamkan jika mereka memenuhi syarat akademik.
“Justeru, saya menyeru Kerajaan Persekutuan mencontohi pendekatan Kerajaan Sarawak untuk menjadi sebuah pentadbiran yang benarbenar progresif, adil dan inklusif yang memberi manfaat kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum,” katanya lagi.






