Perlumbaan Spartan Sarawak: 1,500 sahkan penyertaan

PERLUMBAAN Spartan Sarawak akan berlangsung di Institut Kepimpinan Perkhidmatan Awam Sarawak, Kuching pada 19 hingga 20 Oktober tahun ini.

Cabaran Spartan Sarawak dianjurkan MUSE Group Sdn Bhd dengan kerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia & Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, perlumbaan Spartan Race pertama kali berlangsung di Borneo.

“Bagi cabaran larian, ia akan menampikan beberapa kategori perlumbaan iaitu Sprint (5km), Beast (21km), Ultra (42km) dan kategori Hurricane Heat untuk tempoh 12 jam.

“Ini adalah kali pertama acara Hurrican Heat 12 jam diperkenal di Malaysia.

“Peserta mengharungi cabaran dari segi mental dan fizikal dalam tempoh 12 jam tanpa henti meneruskan cabaran dan halangan yang bermula dari jam 7 malam sehingga 7 pagi,” katanya dalam satu sidang media di Hotel Grand Margherita semalam.

Karim berkata, lokasi cabaran tersebut juga akan melibatkan kawasan Hospital Memorial Rajah Charles Brooke, Pusat Biodivesiti dan Taman Negara Semenggok.

“Kita akan menjangkakan lebih 3,000 peserta akan mendaftar untuk perlumbaan ini.

“Sehingga kini, kita menerima pendaftaran lebih 1,500 peserta telah mengesahkan penyertaan. Mereka yang mengesahkan penyertaan dari Singapura, Jepun, Australia, Andorra dan Malta.

“Saya percaya jumlah sasaran tersebut boleh dicapai, namun bila kita melihat dari aspek perlancongan, secara tidak langsung ia dapat menjana kemasukan lebih ramai pengunjung dari luar negara untuk memberi sokongan kepada peserta dari negara mereka terutama ahli keluarga dan rakan mereka,” katanya. Karim berkata, peserta akan melalui beberapa halangan dan cabaran dari segi metal dan fizikal mereka.

“Bila kita kaitkan sukan ini dengan nama Borneo orang pasti akan mengingatkan ia lebih berbentuk eksotik, dan lebih mencabar, oleh itu kita melihat sukan ini sebagai medium kedatangan atlet dari seluruh dunia,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Perlumbaan Malaysia, David Tully berkata, sejak 2015, sukan tersebut telah mula bertapak di Semenanjung Malaysia, di Ipoh dan merupakan antara sukan yang diadakan untuk dua hingga tiga kali dalam setahun.

“Perlumbaan ini merupakan pertama kali diadakan di Kuching,” katanya.