ARTIKEL

PERMAI beri keutamaan kepada golongan rentan – Penganalisis

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) bernilai RM15 bilion yang terdiri daripada 22 inisiatif membuktikan bahawa ia memberi keutamaan kepada golongan rentan, kata Penganalisis Pengurusan Krisis, Nordin Abdullah.
“Saya berpendapat ia adalah sesuatu yang penting dalam memastikan rakyat dilindungi dan tanggungjawab ini harus diteruskan bukan hanya untuk bulan ini sahaja tetapi pada sepanjang tempoh pandemik COVID-19.
“Saya rasa ini adalah strategi terbaik buat masa ini untuk terus membantu golongan mudah terjejas ini,” katanya dalam program “Midday Update” terbitan Bernama TV, hari ini.
Selain itu, Nordin berkata kerajaan nampaknya telah melakukan persediaan rapi bagi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kedua kerana lebih banyak aktiviti ekonomi dibenarkan beroperasi berbanding dengan PKP pertama yang hanya membenarkan perkhidmatan penting sahaja beroperasi.
“Ini adalah perbezaan utama antara PKP pertama yang dilaksanakan tahun lepas (2020) dan kedua tahun ini. Banyak perkara yang boleh dipelajari daripadanya.
“Saya tidak akan mengatakan bahawa kesilapan telah berlaku tetapi semasa PKP pertama, kita boleh lihat apa yang berjaya dan sebaliknya. Kita telah melaksanakan pelbagai prosedur operasi standard (SOP) dalam realiti ekonomi,” katanya.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam melancarkan pakej bantuan PERMAI bertujuan memerangi pandemik COVID-19, menjaga kesejahteraan rakyat dan menyokong kelangsungan perniagaan berikutan pelaksanaan PKP kedua.
Beliau berkata kerajaan berulang kali telah membuktikan bahawa ia tidak akan berkompromi dalam memastikan kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan dan daya tahan ekonomi.
Muhyiddin berkata pembayaran Bantuan Prihatin Nasional 2.0 yang melibatkan 11.1 juta penerima dan jumlah peruntukan sebanyak RM2.38 bilion akan bermula pada 21 Januari depan.
PERMAI adalah inisiatif kelima yang dilaksanakan oleh kerajaan untuk membantu rakyat dan melindungi ekonomi sejak PKP kali pertama dilaksanakan pada Mac tahun lalu.
Kerajaan telah melaksanakan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) bernilai RM250 bilion pada bulan Mac 2020 dan tambahan RM10 bilion pada bulan April 2020.
Ia juga telah melancarkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) bernilai RM35 bilion pada bulan Jun tahun lepas dan Kerangka Inisiatif Tambahan, Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (KITA Prihatin) pada September tahun lepas. — BERNAMA

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Jalan Balingian-Sungai Anak perlu dinaik taraf

KUCHING: Penyelenggaraan, kerja naik taraf serta penyambungan pembinaan Jalan Persekutuan Balingian–Sungai Anak yang menghubungkan rangkaian Jalan Pan Borneo perlu diberikan perhatian serius, kata ADUN Balingian

Naik Taraf Balingian Sebagai Daerah Penuh

KUCHING: Daerah Kecil Balingian dicadangkan agar dinaik taraf kepada daerah penuh berdasarkan keluasan kawasan, perkembangan penduduk, pertumbuhan ekonomi serta peningkatan keperluan perkhidmatan kerajaan. ADUN Balingian