Permainan tarik tali Putrajaya menjejaskan perjanjian masa depan dengan Sarawak

KUCHING: Keputusan Putrajaya menarik balik bayaran kontra RM1 bilion bagi baik pulih sekolah daif di Sarawak dilihat menjejaskan sedikit perjanjian masa depan antara kerajaan persekutuan dan Sarawak.

Ini diakui Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi, Dato Sri Michael Manyin namun beliau optimis perkara itu dapat diselesaikan secara baik antara kedua-dua pihak.

“Kita hanya berdoa dan sentiasa berfikiran positif. Jadi optimis, bukan pesimis,” katanya yang ditemu-bual selepas menghadiri Upacara Graduasi Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.

Justeru mengulas isu bayaran kontra RM1 bilion itu, Manyin menegaskan bahawa kerajaan Sarawak tetap tidak bersetuju dengan tawaran Putrajaya itu, yang mengingkari perjanjian dipersetujui kedua-dua pihak sebelum ini.

Malah, katanya tawaran berkenaan menjadikan kerajaan Sarawak perlu membayar pinjaman kepada kerajaan pusat terlebih dahulu.

“Jadi ini akan menjadi bajet tahunan pada masa depan,” katanya.

Sehubungan itu, Manyin berkata akan bertemu dengan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik pada penghujung bulan ini untuk berunding tentang isu berkenaan.

“Kami perlu berbincang kerana ini amat menyedihkan,” katanya.

Menurut beliau, keputusan kerajaan persekutuan menarik balik bayaran kontra RM1 bilion itu amat menjejaskan kerana banyak sekolah daif di Sarawak yang perlu dibaik pulih dan dipindahkan ke tapak baharu disebabkan terjejas banjir.

Justeru, beliau berharap perbincangan dengan Maszlee kelak dapat mencapai perjanjian yang lebih baik.

Foto: TVSarawak

Suara Sarawak