Permintaan terhadap ujian saringan meningkat susulan peningkatan kes COVID-19

KUALA LUMPUR:  Sejak gelombang ketiga COVID-19 melanda Malaysia Oktober lepas, semakin ramai melakukan ujian saringan walaupun mereka tidak bergejala mahupun bukan kontak rapat kepada kes positif.
Adakah kemampuan Malaysia pada masa ini cukup untuk memenuhi permintaan yang meningkat, dengan kes empat digit dicatat beberapa bulan, dan sekiranya berlaku senario terburuk?
Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Prof Datuk Dr Subramaniam Muniandy berkata ketika ini kapasiti makmal kebangsaan awam dan swasta melakukan 70,000 ujian setiap hari.
Katanya, ini bermakna jika lebih daripada 70,000 ujian dijalankan dalam sehari, berkemungkinan masa diambil lebih panjang.
“Kita harus mengutamakan ujian untuk kumpulan berisiko tinggi dan saringan komuniti dalam pengawasan.
“Oleh itu, kita perlu memberi perhatian kepada saringan menggunakan kit ujian pantas antigen yang lebih cepat dan menjimatkan kos untuk saringan pantas dan besar,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Dr Subramaniam berkata walaupun Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan bahawa pihaknya tidak akan menyaring kesemua kontak rapat kecuali bergejala, MMA merasakan bahawa kementerian perlu kembali kepada dasar sebelum ini.
“Polisi awal adalah mengesan seberapa banyak kontak rapat dan menjalankan ujian ke atas mereka untuk memastikan kita dapat menghentikan potensi penularan COVID-19 dalam komuniti.
“Jika kerajaan kekurangan tenaga kerja, pihaknya boleh menggunakan khidmat 7,000 doktor am (GP) KKM untuk membantu mereka,” katanya.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media Khamis berkata KKM dijangka meningkatkan kapasiti makmal COVID-19 yang boleh menjalankan ujian Tindak Balas Rantai Polimerase (RT-PCR) antara 100,000 hingga 150,000 setiap hari.
“Sehingga kini, kami mempunyai 68 makmal yang menjalankan 70,000 ujian RT-PCR setiap hari dan kapasiti makmal akan dipertingkatkan. Kami juga akan meningkatkan saringan COVID-19 dengan menggunakan Antigen Rapid Test Kit (RTK-Ag),” katanya.
Beliau berkata kapasiti ujian RT-PCR Malaysia di 68 makmal pada 20 Jan adalah sebanyak 76,255 ujian namun hanya 47,820 ujian dijalankan atau 63 peratus kapasiti ujian.
Katanya, selain daripada pusat perubatan kerajaan, terdapat 1,000 premis swasta seluruh negara turut menawarkan ujian RT-PCR atau ujian swab RTK.
Menurut covid-19.moh.gov.my, sehingga Khamis, sebanyak 132 hospital swasta berlesen di seluruh negara dibenarkan menjalankan ujian COVID-19 di premis mereka.
Sementara sebanyak 741 klinik perubatan swasta telah berdaftar untuk menjalankan ujian COVID-19 di lokasi dan jangkauan, manakala 816 klinik dibenarkan menjalankan ujian di kawasan premis sahaja.
Sebanyak 13 pusat jagaan ambulatori swasta dibenarkan menjalankan ujian di premis mereka termasuk Mahameru International Medical Centre Sdn Bhd di Kuala Lumpur; Sievert Imaging Centre Sandakan, Sabah; Anda Diagnostic Centre Pulau Pinang dan Sunway Specialist Centre Damansara, Selangor.
Berkaitan bayaran, hospital kerajaan mengenakan RM150 kepada warganegara Malaysia dan RM250 kepada warga asing untuk ujian RT-PCR manakala bayaran RM60 (warga Malaysia) atau RM120 (warga asing) untuk ujian RTK Antigen.
Bagaimanapun, penjawat awam yang kembali ke Malaysia selepas berkhidmat di luar negara, warga Malaysia dan warga asing yang disyaki positif COVID-19, penduduk di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) adalah kumpulan yang dikecualikan bayaran.
Bagi swasta pula, bayaran dikenakan adalah pelbagai, contohnya di Subang Jaya Medical Centre dikenakan RM295 untuk ujian RT-PCR dan menerima pemeriksaan terus tanpa janji temu manakala hospital swasta terpilih KPJ pula menawarkan ujian COVID-19 secara pandu lalu dan pemeriksaan terus pada harga antara RM299 hingga RM388 (Rt-PCR).
Hospital Pantai di Ampang mengenakan bayaran RM180 untuk ujian RTK Antigen dan RM250 untuk RT-PCR manakala RM260 bagi ujian RT-PCR di Hospital Pantai Cheras dan RM480 untuk ujian RT-PCR di Hospital Gleneagles Kuala Lumpur.
BP Diagnostic di Taiping dan Sitiawan, Perak; Butterworth dan George Town, Pulau Pinang; Alor Setar, Kedah; Bahau, Negeri Sembilan; OUG, Kepong, Medan Tunku dan Cheras, Kuala Lumpur; Kajang, Rawang, Seri Kembangan, Glenmarie dan Taman SEA, Selangor; Skudai, Batu Pahat and Muar, Johor; Kuching, Sarawak; Kota Kinabalu, Sabah dan Melaka pula mengenakan bayaran RM240 untuk ujian RT-PCR.  — BERNAMA

Suara Sarawak