BINTULU: Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Prof. Dr Sim Kui Hian menyifatkan perpaduan komuniti dan pemeliharaan warisan budaya sebagai antara faktor penting yang menyokong kemajuan pesat Bintulu sebagai hab ekonomi utama negara.
Beliau berkata peranan persatuan komuniti seperti Persatuan Klan Gao Yang Hii (Kho) Bintulu bukan sahaja memperkukuh hubungan kekeluargaan dalam kalangan ahli, malah turut membantu memelihara nilai tradisi serta menyokong perkembangan pendidikan masyarakat Cina di Sarawak.
Menurutnya, selama tiga dekad penubuhannya, persatuan berkenaan telah memberi sumbangan bermakna kepada kebajikan ahli serta pemeliharaan warisan budaya, sekali gus mencerminkan semangat perpaduan yang menjadi asas keharmonian masyarakat majmuk di negeri ini.
Beliau berkata demikian dalam perutusan sempena sambutan ulang tahun ke-30 penubuhan persatuan berkenaan yang diraikan bersama majlis Makan Malam Tahun Baharu Cina di sebuah hotel di sini, Ahad malam.
Dalam pada itu, Dr Sim berkata pembangunan pesat Bintulu sebagai pusat industri dan tenaga menjadikan kawasan itu antara penyumbang penting kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Katanya, Bintulu mencatat antara Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita tertinggi di Malaysia, sekali gus menonjolkan potensi besar kawasan itu sebagai pusat pertumbuhan ekonomi.
Tambah beliau, pengiktirafan Bintulu sebagai salah satu daripada 36 Kluster Perindustrian Peralihan di dunia oleh Forum Ekonomi Dunia dijangka memperkukuh lagi kedudukannya sebagai hab ekonomi serantau serta menyumbang tambahan kira-kira RM12 bilion kepada KDNK Malaysia.
Sehubungan itu, beliau berharap persatuan komuniti akan terus memainkan peranan dalam memperkukuh perpaduan masyarakat sambil meneruskan usaha memelihara warisan budaya untuk generasi akan datang.







