ARTIKEL

Azman berucap pada majlis sambutan Hari Sarawak 2026 yang dianjurkan JKKK Kampung Jabai serta KRT Kampung Jabai, malam tadi.

Perpaduan Kunci Sarawak Capai Status Wilayah Maju Menjelang 2030 – Tiong

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BINTULU: Perpaduan masyarakat berbilang kaum dan etnik merupakan faktor utama yang membolehkan Sarawak terus menikmati kestabilan politik, kemajuan ekonomi serta pembangunan mampan dalam usaha mencapai status wilayah maju menjelang 2030, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing.

Beliau berkata kekuatan Sarawak terletak pada keupayaan rakyat daripada pelbagai latar belakang untuk hidup bersama-sama dalam suasana aman, harmoni dan saling menghormati, sekali gus menjadi asas kepada kejayaan pembangunan negeri selama ini.

“Keunikan Sarawak terletak pada kepelbagaian rakyatnya. Dengan hampir 30 kumpulan etnik hidup bersama-sama secara harmoni, kita membuktikan bahawa perpaduan merupakan kekuatan terbesar dalam membina sebuah negeri yang stabil, makmur dan terus berkembang,” katanya.

“Semangat inilah yang perlu kita pertahankan kerana ia menjadi asas kepada segala kejayaan dan pembangunan yang kita nikmati hari ini,” tambah beliau.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh pegawai khasnya, Azman Abdul Rahman pada majlis sambutan Hari Sarawak 2026 yang dianjurkan bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Jabai serta Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Jabai, malam tadi.

Menurut Tiong, sambutan Hari Sarawak yang diraikan setiap 22 Julai bukan sekadar memperingati peristiwa bersejarah negeri ini, malah menjadi medan untuk mengenang jasa pemimpin terdahulu yang meletakkan asas kukuh kepada kemajuan dan kesejahteraan rakyat.

Mengulas mengenai hala tuju pembangunan negeri, Tiong berkata Sarawak kini berada pada landasan tepat untuk mencapai status wilayah maju menjelang 2030 menerusi pelaksanaan pelbagai agenda strategik melibatkan pembangunan infrastruktur, ekonomi digital, tenaga boleh diperbaharui, pendidikan, kesihatan dan pembangunan luar bandar.

Menurutnya, kerajaan Sarawak komited memastikan pembangunan dilaksanakan secara inklusif supaya manfaatnya dapat dinikmati oleh seluruh rakyat tanpa mengira lokasi dan latar belakang.

“Kita tidak mahu pembangunan hanya tertumpu di bandar. Kawasan luar bandar juga perlu menikmati kemudahan asas, peluang ekonomi serta akses yang lebih baik kepada pendidikan dan perkhidmatan kesihatan supaya tiada rakyat yang tercicir daripada arus pembangunan,”ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata Sarawak semakin mendapat perhatian dunia sebagai antara peneraju pembangunan tenaga hijau yang berpotensi menarik pelaburan berkualiti tinggi serta merangsang pertumbuhan ekonomi negeri.

Menurutnya, transformasi ekonomi yang sedang dilaksanakan bukan sahaja mewujudkan peluang pekerjaan baharu, malah membuka ruang kepada generasi muda untuk menceburi bidang berteknologi tinggi dan ekonomi masa hadapan.

Menyentuh perkembangan di Bintulu, Tiong berkata bahagian itu terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara pusat pertumbuhan ekonomi utama Sarawak melalui perkembangan pesat sektor minyak dan gas, tenaga, industri hiliran, pelabuhan serta logistik.

Beliau turut menegaskan bahawa pembangunan fizikal perlu diseimbangkan dengan pembangunan modal insan menerusi pemerkasaan pendidikan, latihan kemahiran dan pembangunan belia kerana golongan muda merupakan aset paling berharga yang akan meneruskan agenda pembangunan negeri pada masa hadapan.

Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh rakyat Sarawak agar terus memelihara keamanan, memperkukuh perpaduan dan menghormati kepelbagaian budaya yang menjadi identiti negeri ini demi merealisasikan hasrat menjadikan Sarawak sebuah wilayah yang maju, inklusif dan makmur untuk generasi akan datang.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU