ARTIKEL

Perpustakaan gedung ilmu

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SELASA lalu, penulis berpeluang menemu bual secara santai Ketua Pegawai Eksekutif Pustaka Negeri Sarawak, Japri Bujang Masli, yang tidak lekang dengan senyuman. 

Bagaimanapun, satu perkara menarik yang beliau kongsikan ialah berkenaan dengan sikap “ilusi pengetahuan” (Illusion of knowledge) seperti yang dijelaskan dalam kajian Dunning-Kruger. 

Kajian ini, katanya, menunjukkan bahawa individu yang kurang berpengetahuan sering menilai diri mereka lebih pandai daripada yang sebenarnya, manakala mereka yang benar-benar pakar lebih cenderung merendahkan penilaian terhadap kebolehan diri mereka 

Justeru, inilah sebabnya ramai orang berani memberi komen di media sosial, seolah-olah mereka lebih tahu daripada pakar sebenar.

Hakikatnya, setiap bidang memerlukan ilmu.

Sama ada mengenai rumah, kewangan, kesihatan, atau keibubapaan, semuanya mempunyai asas pengetahuan yang telah ditulis dan dikaji.

Cabaran perpustakaan, jelasnya, adalah untuk menyedarkan masyarakat bahawa mencari, membaca, dan memahami ilmu adalah kunci untuk membuat keputusan yang lebih baik dalam kehidupan.

Menurut beliau lagi, ramai yang masih tidak menyedari bahawa ilmu ialah asas dalam membuat keputusan yang tepat, sama ada dalam membeli rumah, melabur, atau dalam bidang lain.

Ini kerana ramai individu cenderung mengikut emosi dan sentimen tanpa berpandukan maklumat yang sahih.

Contohnya, seseorang membeli rumah hanya kerana rakan atau saudara membelinya di lokasi tertentu, tanpa mempertimbangkan faktor harga, keselamatan, dan lokasi yang lebih sesuai. 

Perkara yang sama berlaku dalam pelaburan, jelasnya, iaitu ramai yang mudah terpedaya hanya kerana testimoni seseorang, tanpa kajian mendalam.

Di samping itu, beliau mengakui bahawa cabaran utama dalam mengurus Pustaka Negeri adalah meyakinkan masyarakat tentang kepentingan perpustakaan serta amalan pembelajaran sepanjang hayat.

Sebagai contoh, dalam dunia perniagaan, seseorang yang berlandaskan ilmu dapat mengurangkan risiko kegagalan. Tanpa ilmu, seseorang mungkin mencuba dan gagal berkali-kali sebelum akhirnya berjaya.

Namun, jika dia terlebih dahulu membaca dan memahami faktor kejayaan serta kegagalan dalam industri tersebut, peluang untuk berjaya akan lebih tinggi dan dia dapat menjimatkan masa, wang, dan tenaga. Kesedaran ini juga penting dalam kepimpinan.

Ramai pemimpin percaya mereka sudah cukup tahu, tetapi tanpa ilmu yang tepat, mereka boleh membuat keputusan yang merugikan. 

Dalam dunia yang penuh maklumat ini, mereka yang membaca dan mencari ilmu akan lebih ke hadapan berbanding mereka yang hanya mengikut emosi atau pengalaman peribadi. Akhirnya, kebergantungan manusia kepada ilmu adalah mutlak.

Mereka yang menyedari betapa luasnya ilmu akan terus belajar, manakala mereka yang berasa sudah cukup tahu akan ketinggalan. 

Membaca membuka pintu kepada pengetahuan tanpa had, dan inilah peranan perpustakaan sebagai penjaga ilmu yang perlu dimanfaatkan oleh semua.

Menariknya, konsep perpustakaan berasaskan perkongsian dan keperluannya sentiasa wujud.

Tidak kira masa, akan sentiasa ada golongan yang kurang berkemampuan atau tidak berpeluang mendapatkan akses kepada sumber maklumat.

Di dunia digital hari ini, tidak semua orang mampu memiliki akses penuh kepada maklumat yang berkualiti tinggi.

Walaupun banyak kandungan percuma tersedia di platform seperti Google, Facebook, dan Instagram, hakikatnya maklumat berkualiti tinggi sering kali berbayar dan mahal.

Sebagai contoh, Pustaka membelanjakan hampir setengah juta ringgit untuk langganan sumber digital, yang kemudiannya boleh diakses secara percuma oleh ahli perpustakaan.

Masyarakat umum sering tidak menyedari bahawa maklumat percuma di internet biasanya bersifat dangkal, tidak tepat atau mempunyai agenda tertentu seperti propaganda, pemasaran, atau kepentingan politik. 

Media digital seperti Google dan Facebook juga mempunyai kecenderungan tersendiri dalam menyampaikan maklumat, yang secara tidak sedar boleh mempengaruhi pemikiran pengguna. 

Akibatnya, masyarakat lebih cenderung kepada produk atau budaya Barat kerana terdedah kepada pengaruh media yang berat sebelah.

Sebagai perbandingan, beliau berkata ramai yang tidak mengenali sasterawan Rusia atau Parsi seperti Jalaluddin Rumi, tetapi mereka mengenali watak fi ksyen Barat seperti Iron Man.

Oleh itu, Japri memberitahu bahawa peranan Pustaka dalam dunia digital menjadi sangat penting kerana ia menyediakan akses kepada sumber maklumat yang lebih seimbang dan berkualiti tinggi.

Pustaka kini dalam proses menerapkan elemen kecerdasan buatan (AI) dalam perkhidmatannya.

Namun, kebanggaan utama Pustaka tetap pada koleksi maklumatnya, sama ada dalam bentuk cetakan atau digital. 

Setelah beroperasi selama 25 tahun dengan perbelanjaan tahunan kira-kira RM2 juta untuk koleksi bahan bacaan, Pustaka kini memiliki koleksi bernilai sekitar RM60 juta.

Sayangnya, tambah Japri, jika masyarakat tidak membaca, mereka tidak dapat menikmati manfaat daripada koleksi ini.

Namun, cabaran utama ialah ramai yang mengakui kepentingan membaca tetapi tidak mengamalkannya — sama seperti senaman yang diakui baik tetapi jarang dilakukan. 

Walaupun begitu, Pustaka terus menjalankan pelbagai program bagi memastikan masyarakat mendapat manfaat daripada ilmu yang tersedia.

Salah satu mitos terbesar tentang perpustakaan adalah tanggapan bahawa ia hanya diperlukan ketika musim peperiksaan. Ramai hanya datang untuk belajar menjelang peperiksaan, menyebabkan perpustakaan penuh pada waktu itu dan kosong selepasnya.

Hakikatnya, perpustakaan bukan sekadar tempat untuk mengulang kaji, tetapi pusat ilmu yang menyediakan pelbagai bahan bacaan dan sumber maklumat.

Membaca bukan hanya untuk peperiksaan, tetapi untuk menambah pengetahuan dan memperkaya pemikiran.

Dalam 10 tahun akan datang, perpustakaan dijangka terus berkembang, tetapi dalam jangka masa panjang, cabaran besar muncul apabila golongan yang kurang menghargai ilmu mengambil alih kepimpinan.

Sejarah menunjukkan bahawa setiap tamadun besar, sama ada Mesir, Islam, atau Barat, mempunyai sistem perpustakaan yang kukuh.

Namun, apabila tamadun mulai runtuh, perpustakaan mereka turut dimusnahkan.

Hari ini, negara maju seperti Amerika Syarikat mula mengurangkan bajet untuk perpustakaan kerana melihatnya sebagai satu pembaziran.

Jika trend ini berterusan, mereka mungkin mengalami kemerosotan dalam jangka masa panjang, dan tamadun lain mengambil alih.

BERITA LAIN

SEMAKIN DIGITAL, semakin selamatkah kita?

TEKNOLOGI digital dan kecerdasan buatan (AI) kini berkembang dengan begitu pesat dalam pelbagai aspek kehidupan masyarakat. Namun, di sebalik kemudahan yang dinikmati untuk bekerja, belajar

KESIHATAN nikmat tidak ternilai

KESIHATAN merupakan antara nikmat terbesar yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada manusia. Dengan tubuh yang sihat, seseorang dapat melaksanakan ibadah, mencari rezeki, menuntut ilmu dan

BERITA TERBARU

Taman Kenyalang ngеna konsep moden

KUCHING: Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng nerima penuemai basa ari diligit Chung Yuan Christian University (CYCU), Taoyuan, Taiwan, ti bejuraika asil tungkap