ARTIKEL

PERPUSTAKAAN MINI NADI ILMU RAKYAT

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

»TIDAK semua kampung bertuah memiliki perpustakaan sendiri, walaupun hanya bersaiz kecil dan sering disebut sebagai perpustakaan mini.

Bagi sesetengah penduduk luar bandar, bahan bacaan dan sumber rujukan masih dianggap sebagai satu kemewahan yang sukar dicapai disebabkan oleh beberapa kekangan.

Oleh sebab itu, kewujudan perpustakaan mini di Kampung Sesok baru-baru ini disambut dengan penuh rasa syukur dan teruja oleh penduduk setempat.

Walaupun bersaiz kecil, perpustakaan ini membawa makna yang besar kerana menjadi nadi ilmu kepada penduduk di kawasan tersebut.

Dengan adanya koleksi buku rujukan, novel, majalah dan bahan bacaan kanak kanak, perpustakaan mini ini membolehkan anak-anak di Kampung Sesok dan kawasan sekitarnya mencari maklumat tanpa perlu ke pekan atau bergantung sepenuhnya pada Internet yang kadangkala terhad.

Bukan itu sahaja, ia menjadi titik tolak kepada pembentukan budaya membaca dalam kalangan anak-anak kampung serta ruang santai berinformasi kepada golongan dewasa.

Menurut Pengerusi Majlis Daerah Dalat dan Mukah, Kaunselor Aini Suhaili, perpustakaan mini tersebut dibina dengan peruntukan RM10,000.

“Ini merupakan salah satu inisiatif untuk memperkasakan budaya ilmu di peringkat akar umbi, yang dilengkapi dengan kelengkapan, perabot serta kemudahan ruang membaca berhawa dingin.

“Penubuhan perpustakaan mini ini juga merupakan langkah yang amat bertepatan dalam usaha memupuk budaya membaca, meningkatkan celik maklumat dan memperkukuh ilmu pengetahuan dalam kalangan masyarakat luar bandar.

“Walaupun berskala kecil, impaknya amat besar, khususnya kepada anakanak generasi muda yang bakal menjadi pewaris dan pemimpin masa depan,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, peruntukan untuk membangunkan perpustakaan ini adalah daripada Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak.

Jelasnya, tarikh mula projek ialah pada 28 April lalu, manakala tarikh siap projek ialah pada 23 Jun lalu.

Sehubungan itu, Aini memberitahu bahawa pihak MDDM amat menyokong inisiatif seperti ini kerana seiring dengan usaha pembangunan insaniah serta pembinaan komuniti berilmu yang progresif dan berdaya saing.

“Kami percaya bahawa setiap kampung, tidak kira lokasinya dekat atau jauh, harus diberi akses kepada ilmu, kemudahan asas pendidikan dan peluang pembangunan yang seimbang.

“Hal ini bagi melahirkan generasi baharu yang mencintai ilmu dan mementingkan pendidikan,” jelasnya lagi.

Dalam pada itu, Aini  turut menggesa penduduk Kampung Sesok dan kawasan sekitarnya supaya menggunakan dan memelihara perpustakaan mini ini dengan sebaik-baiknya.

Katanya lagi, penduduk kampung juga perlu menjadikan perpustakaan ini sebagai pusat rujukan, tempat pembelajaran dan ruang komuniti yang sihat bagi semua lapisan umur.

Beliau turut berterima kasih dan menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang bertungkus-lumus menjayakan penubuhan perpustakaan mini ini.

Tambahnya, pihak tersebut termasuk Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), penduduk setempat serta semua agensi dan rakan kerjasama yang terlibat secara langsung atau tidak langsung.

Terdahulu, perpustakaan tersebut telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Ekonomi merangkap Ahli Parlimen Mukah, Datuk Hanifah Hajar Taib, pada 26 Julai lalu.

Sebagai tanda sokongan, beliau menyumbangkan beberapa koleksi bahan ilmiah kepada perpustakaan tersebut dengan harapan dapat memperkaya sumber bacaan serta menjadi pemangkin kepada perkembangan ilmu pengetahuan dalam kalangan penduduk kampung.

Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa penubuhan perpustakaan ini akan memberi impak positif dalam menyemai minat membaca dan membudayakan ilmu pengetahuan, khususnya dalam kalangan masyarakat luar bandar.

Hanifah turut menegaskan bahawa inisiatif seumpama ini selaras dengan usaha kerajaan memperkasakan pendidikan di peringkat akar umbi.

Justeru, dengan adanya perpustakaan mini seperti ini, penduduk kampung dan kawasan sekitar perlu memanfaatkannya sebaikbaiknya.

BERITA LAIN

Larian pesisir pacu ekonomi setempat

PROGRAM Larian Pesisir (Coastal) Sadong Jaya 2026 yang diadakan baru-baru ini dilihat mempunyai keistimewaan tersendiri. Program itu bukan sahaja menjadi aktiviti riadah yang menggalakkan amalan

Sarawak menanti kehadiran MPL

SEDEKAD bukan tempoh yang singkat, apatah lagi bagi sebuah permainan mudah alih yang berjaya bertahan, berkembang dan membina komuniti peminat merentas generasi. Bagi saya, Mobile

BERITA TERBARU