ARTIKEL

Gambar hiasan

Persaingan sengit dalam Pilihan raya Thailand

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BANGKOK: Parti Bhumjaithai Thailand, pimpinan Perdana Menteri Anutin Charnvirakul muncul sebagai pendahulu awal dalam pilihan raya umum pada Ahad, ketika proses pengiraan undi masih berjalan.

Setakat pukul 10.00 malam waktu tempatan, kira-kira 31 peratus undi telah dikira dengan Parti Bhumjaithai mendahului, diikuti oleh parti pembangkang progresif, Parti Rakyat dan Parti Pheu Thai yang disokong oleh bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra.

Data yang diterbitkan di laman sesawang Suruhanjaya Pilihan Raya (ECT) Thailand menunjukkan Parti Bhumjaithai telah memperoleh 178 kerusi pada peringkat itu. Parti Rakyat berada di tempat kedua dengan 70 kerusi, manakala Parti Pheu Thai memperoleh 67 kerusi.

Parti Kla Tham yang dipimpin oleh bekas Timbalan Perdana Menteri Thammanat Prompao memenangi 56 kerusi, manakala Parti Demokrat yang diketuai oleh bekas Perdana Menteri Abhisit Vejjajiva memperoleh sembilan kerusi

Bercakap kepada pemberita, Anutin berkata partinya percaya mereka telah memenangi pilihan raya itu berdasarkan laporan calon-calonnya dari seluruh negara, meskipun angka rasmi kerusi masih belum disahkan.
“Berdasarkan penyelarasan dan maklumat terkini secara langsung daripada calon-calon kami di seluruh negara, kami percaya Bhumjaithai telah memperoleh jumlah Ahli Parlimen (MP) tertinggi dalam pilihan raya hari ini,” katanya pada Ahad malam.

Anutin menyifatkan keputusan itu sebagai “kemenangan bagi seluruh rakyat Thailand” dan berkata parti itu akan menunggu pengesahan rasmi daripada ECT.

Sementara itu, Natthaphong Ruenpanyawut yang merupakan pemimpin dan calon perdana menteri bagi Parti Rakyat berkata, adalah sukar bagi partinya untuk muncul sebagai parti terbesar berdasarkan keputusan awal pilihan raya itu.

Beliau berkata pihaknya menghormati prinsip parlimen dan akan membenarkan parti yang menduduki tempat teratas untuk menerajui usaha pembentukan kerajaan.

Natthaphong berkata Parti Rakyat bersedia untuk menjadi pembangkang sekiranya Parti Bhumjaithai membentuk kerajaan dan tidak akan mengundi calon perdana menteri daripada Bhumjaithai.

“Kami menghormati prinsip bahawa parti teratas mempunyai peluang pertama untuk membentuk kerajaan. Kita mesti memberikan hak itu sepenuhnya kepada mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Julapun Amornvivat yang merupakan pemimpin dan calon perdana menteri Parti Pheu Thai menzahirkan penghargaan kepada pengundi yang keluar menunaikan tanggungjawab mereka dan menyokong proses demokrasi serta menyokong Pheu Thai.

Julapun menegaskan bahawa parti itu akan terus berkhidmat kepada orang ramai dengan sebaik mungkin tanpa mengira sama ada Pheu Thai akhirnya berada dalam kerajaan atau pembangkang.

“Tidak kira apa jua peranan yang kami pikul, kami akan bekerja untuk rakyat dengan kapasiti dan dedikasi sepenuhnya. Hari ini, kami menghormati keputusan rakyat,” katanya.

Kira-kira 52.9 juta rakyat Thailand layak mengundi untuk memilih 500 ahli Dewan Rakyat serta mengundi dalam referendum mengenai penggubalan perlembagaan baharu.

Pusat mengundi ditutup pada pukul 5 petang waktu tempatan dengan proses pengiraan undi sedang dijalankan dan keputusan awal mula diumumkan secara berperingkat.

Dalam referendum yang diadakan serentak dengan pilihan raya itu untuk mengukur sokongan awam terhadap penggubalan perlembagaan baharu, angka awal menunjukkan 16,246,272 undi menyokong, 8,666,503 menentang dan 2,426,854 berkecuali.– BERNAMA

BERITA LAIN

Peluang pekerjaan lebih adil untuk semua kaum – Wilfred

KUCHING: Kerajaan Sarawak dicadangkan memperkenalkan Kerangka Kepelbagaian dan Keterangkuman bagi memastikan rakyat daripada semua kaum mendapat peluang yang adil dalam perkhidmatan awam, syarikat berkaitan kerajaan

Wilfred cadang laluan PR untuk pakar strategik Sarawak

KUCHING: Laluan taraf pemastautin tetap (PR) khusus bagi tenaga pakar strategik dicadangkan untuk menarik kepakaran antarabangsa dalam industri utama Sarawak, termasuk hidrogen hijau, kecerdasan buatan

BERITA TERBARU

KCFC, KITCHEE TERIKAT 1-1 BABAK PERTAMA

KUCHING: Kuching City FC (KCFC) dan Kitchee SC terikat 1-1 selepas tamat babak pertama aksi Kumpulan H Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) di Stadium Taha