KUCHING: Persatuan Alumni Universiti Putra Malaysia (UPM) Sarawak, yang ahli-ahlinya terdiri daripada pelbagai latar belakang profesional bersedia menyumbang kepakaran dan pengalaman dalam usaha membantu Kerajaan Sarawak khususnya untuk mengembangkan lagi sektor pertanian bagi menjamin keselamatan makanan negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Protem Persatuan Alumni UPM Sarawak, Datuk Sylvester Entri Muran berkata adalah diakui bahawa semua alumni UPM Sarawak mempunyai pengalaman yang luas dalam semua bidang yang berkaitan dengan pengajian mereka, dengan ada yang memegang jawatan kanan dalam sektor awam dan swasta manakala ada yang bersara dan yang masih berkhidmat.
Beliau menambah, dengan kata lain mereka telah berkhidmat kepada rakyat dan dengan pengalaman yang begitu luas, mereka masih mampu dan bersedia untuk terus berkhidmat kepada masyarakat mengikut kemampuan dan kapasiti masing-masing.
“Kami boleh memberi nasihat berdasarkan pengalaman, bukan sahaja dalam bidang pertanian tetapi juga kebajikan, pendidikan, kejuruteraan, perubatan, perniagaan dan sebagainya,” katanya pada sidang media di sini, hari ini yang turut dihadiri Timbalan Pengerusi Datu Sapuan Ahmad serta ahli-ahli jawatankuasa protem yang lain.
Menjelas lanjut, Sylvester berkata pada masa ini, persatuan itu yang baharu mendapat kelulusan daripada Pendaftar Pertubuhan (RoS) masih dalam proses mengumpul keahlian yang terdiri daripada alumni-alumni UPM dari Sarawak.
Katanya berdasarkan rekod sejak tahun 2002, terdapat seramai 6,211 orang alumni UPM dari Sarawak ketika ini.
“Pada ketika ini, kami sedang mengumpul sumber untuk membolehkan kami menyumbang kepada rakyat Sarawak.
“Usaha gigih untuk meneruskan legasi berkhidmat kepada rakyat di Sarawak telah mendorong kami untuk membentuk Alumni UPM di Sarawak.
“Alumni ini terbuka kepada semua siswazah UPM Sarawak sama ada mereka bersara penjawat awam, sektor swasta atau masih berkhidmat dalam apa jua kapasiti mereka sekarang, termasuk semua siswazah baru,” katanya.



