SARIKEI: Usaha menyatupadukan komuniti Cina tempatan serta mengekalkan keharmonian budaya terus diperkukuh menerusi peranan aktif Persatuan Cina Bersatu Sarikei yang menjadi tonggak perpaduan masyarakat di kawasan ini.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Huang Tiong Sii berkata, pertubuhan seperti itu amat penting dalam memperkukuh semangat perpaduan dan menegakkan nilai budaya dalam kalangan masyarakat.
Beliau memuji kepimpinan terdahulu dan semasa kerana berjaya menyatukan pelbagai persatuan Cina di bawah satu payung bagi memperjuangkan kebajikan komuniti tempatan.
“Saya amat menghargai kesediaan ahli jawatankuasa utama, belia dan wanita yang baharu untuk memikul tanggungjawab ini. Keberanian untuk berkhidmat kepada masyarakat dan memelihara identiti budaya kita adalah satu tugas mulia yang wajar dihargai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-46 Persatuan Cina Bersatu Bahagian Sarikei serta Upacara Pelantikan Ahli Jawatankuasa Baharu di Dewan Sentral Sarikei, di sini semalam.
Ahli Parlimen Sarikei merangkap ADUN Repok itu turut menyatakan keyakinan persatuan berkenaan akan terus berkembang di bawah kepimpinan baharu.
“Saya juga menyeru semua pihak agar terus bekerjasama dalam mengekalkan keharmonian kaum di Sarikei,” ujarnya.
Dalam pada itu, Huang turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM30,000 kepada persatuan tersebut bagi menyokong pelaksanaan aktiviti serta program pembangunan yang dirancang.



