DIANGGARKAN seramai 3.8 juta atau 11.3 peratus penduduk di Malaysia berumur 60 tahun dan ke atas. Angka ini dijangka meningkat kepada 8.2 juta orang atau 19 peratus penduduk dalam tempoh 20 tahun akan datang.
Berdasarkan unjuran data daripada Jabatan Perangkaan Malaysia, negara ini dijangka mencapai status ‘negara tua’ atau aged nation menjelang 2030 apabila dijangkakan sebanyak 15.3 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk negara berusia 60 tahun dan ke atas.
Ini bermakna, populasi warga emas di Malaysia pada ketika itu, akan menjangkau 5.8 juta orang daripada keseluruhan 38.1 juta jumlah penduduk di negara kita.
Berbaki kurang empat tahun sebelum jangkaan tersebut, adakah kita bersedia untuk memastikan negara ini mesra warga emas?
Pelbagai perkhidmatan dan kemudahan bersifat mesra warga emas harus dilakukan oleh pihak berwajib untuk keselesaan golongan ini baik dari segi kesihatan, kos sara hidup dan kemudahan awam.
Kemudahan seperti tempat duduk khas dan pemegang khas di tandas awam mungkin tidak kelihatan penting ketika ini, namun ia harus dijadikan infrastruktur wajib.
Malah beberapa pusat beli-belah juga menyediakan tempat letak kenderaan khas untuk golongan warga emas.
Terutamanya di hospital. Kawasan ini mungkin boleh dikategorikan sebagai kawasan warga tua paling banyak singgah.
Kemudahan mesra warga emas harus diperbanyak bermula dari kawasan tempat letak kereta, tempat menunggu dan tandas.
Bagi kawasan awam, mungkin boleh dicadangkan untuk penggunaan laluan khas dan sistem tanda arah yang lebih jelas bagi memudahkan warga emas yang mempunyai masalah penglihatan atau mobiliti.
Sistem pengangkutan awam perlu mudah diakses dengan manfaatkan teknologi terkini. Pun begitu, dalam era pendigitalan, ramai warga emas masih berdepan kesukaran menggunakan perkhidmatan dalam talian. Justeru program literasi digital perlu diperluas supaya mereka tidak tercicir daripada arus pembangunan semasa dan dapat menjalani kehidupan harian dengan lebih mudah serta selamat.
Selain itu, penubuhan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) menjadi contoh tindakan proaktif kerajaan dalam menyediakan platform untuk warga emas terlibat dan kekal produktif dalam komuniti setempat.
Antara aktiviti atau program yang disediakan di PAWE ialah program kerohanian penuaan positif, kesihatan penuaan sihat, program sosial penuaan aktif, program persekitaran penuaan menyokong dan sebagainya.
Sementara itu, Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2025 menunjukkan hampir satu daripada lima warga emas di Malaysia kini tinggal bersendirian.
Oleh itu, PAWE juga memainkan peranan sebagai pusat aktiviti bagi warga emas meluangkan masa dan mendapatkan kemahiran sedikit banyak berkaitan media sosial, pendedahan penipuan dalam talian yang menyasarkan golongan tersebut dan sebagainya.
Sementara itu, inisiatif kerajaan negeri melalui Kenyalang Gold Card (KGC) menyediakan kemudahan dan akses untuk warga Sarawak yang layak menerima pelbagai inisiatif seperti diskaun dan tawaran istimewa.
KGC khas untuk individu berumur 60 ke atas pada 1 Januari 2020, warganegara Malaysia dengan status ‘K’ pada kad pengenalan dan penduduk tetap Sarawak.
KGC menyediakan keistimewaan seperti diskaun pada produk dan perkhidmatan daripada rakan vendor strategik KGC, termasuk perkhidmatan di klinik terpilih.
Sementara itu, pemilikan tenaga kerja profesional yang berkemahiran dalam aspek penjagaan dan kebajikan warga emas turut diberi perhatian.
Contohnya di Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) Dalat menjadi institusi latihan yang menawarkan kursus penjagaan warga emas sebagai persediaan menghadapi peningkatan populasi golongan tersebut di Sarawak pada masa hadapan.
Kursus berkenaan bukan sahaja memberi pendedahan penjagaan fizikal warga emas, malah turut merangkumi aspek psikologi, hak warga emas serta pemahaman berkaitan perundangan yang berkaitan.
Justeru, peningkatan keperluan perkhidmatan penjagaan warga emas akan membuka peluang pekerjaan baik dari segi rawatan, terapi, kaunseling mahupun penjagaan khas.
Kesimpulannya, persediaan yang menyeluruh perlu dilaksanakan segera melibatkan kerjasama semua pihak termasuk kerajaan, sektor swasta dan masyarakat. Dengan perancangan yang lebih inklusif dan berterusan, kita akan mencipta persekitaran mesra warga emas, sekali gus memastikan golongan ini dapat menjalani kehidupan dengan lebih selesa, bermaruah dan dihargai dalam arus pembangunan negara.



