KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan mengemukakan pandangan serta cadangan kepada Suruhjaya Pilihan Raya (SPR) tentang persempadanan semula kawasan pilihan raya negeri yang dijangka dilaksanakan pada tahun ini.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ia melibatkan penentuan bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) baharu yang seimbang dari sudut komposisi kaum dan perwakilan.
“Antara perkara yang dibincangkan GPS adalah kemungkinan pada tahun ini ada kajian persempadanan semula kawasan pilihan raya negeri dan kita akan memberi pandangan kepada pihak SPR.
“Ia termasuk perkara-perkara yang harus diambil kira dalam kita menentukan kawasan pilihan raya negeri baharu yang akan diwujudkan oleh SPR,” katanya.
Abang Johari, yang juga juga Pengerusi GPS, berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Kepimpinan Tertinggi GPS di sini, hari ini.
Menurutnya, keputusan muktamad dalam penentuan kawasan pilihan raya negeri baharu terletak pada SPR.
“Tetapi yang pasti kami di pihak Kerajaan Negeri memberikan cadangan bagi kawasan pilihan raya yang perlu dibentuk dan kami mempunyai beberapa parameter asas bagi tujuan tersebut.
“Kawasan itu mestilah terdiri daripada konstituensi campuran, bermakna semua kaum ada di sana.
“Seterusnya, mesti ada perwakilan yang seimbang antara bandar dan luar bandar,” jelasnya.



