ARTIKEL

Nur Iffah Syahirah merakam gambar kenangan bersama-sama wakil Sekolah Seni Malaysia Sarawak sempena Pertandingan Tarian Sekolah-sekolah Malaysia (TASEEM) Generasi MADANI Peringkat Kebangsaan 2026.

Persiapan seminggu, Sekolah Seni Sarawak raih lima anugerah

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

DALAM tempoh persiapan yang singkat untuk melangkah ke pentas besar, mungkin ada air mata yang tidak sempat tumpah, keletihan yang disembunyikan di sebalik senyuman dan pengorbanan yang tidak pernah dipandang mata.

Namun, segala penat lelah itu berbaloi apabila Sekolah Seni Malaysia Sarawak membuktikan bahawa kesungguhan mampu mengatasi segala kekangan di pentas Pertandingan Tarian Sekolah-sekolah Malaysia (TASEEM) Generasi MADANI Peringkat Kebangsaan 2026 di Hotel Sunway Big Box, Iskandar Puteri, Johor dari 29 Jun hingga 1 Julai lalu.

Dengan hanya kira-kira seminggu membuat persiapan keseluruhan, kontinjen sekolah itu berjaya mencipta pencapaian membanggakan apabila Sekolah Seni Malaysia Sarawak berjaya meraih Anugerah Khas Juri dan Naib Johan bagi kategori Tarian Rampaian Melayu.

Manakala, bahi Kategori Trio pula, sekolah berkenaan juga mendapat tempat ketiga, Anugerah Khas Juri dan Anugerah Penari Lelaki Terbaik.

Rakaman kenangan penari yang mewakili Sekolah Seni Malaysia Sarawak.

Di sebalik kejayaan itu juga, berdiri tiga jurulatih tari yang menjadi tulang belakang pasukan, iaitu Nur Iffah Syahirah Mohd Fadzli, Fernandez Deru dan Nur Zareena Mohd Firdaus yang tidak pernah jemu membimbing para penari sehingga berjaya menampilkan persembahan terbaik.

Menurut Nur Iffah Syahirah, TASEEM merupakan acara kebudayaan tahunan anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang menjadi platform mencungkil dan mengetengahkan bakat murid dalam bidang seni tari, selain memupuk semangat perpaduan serta menghargai kepelbagaian budaya melalui persembahan tarian rampaian tradisional dan tarian kreatif.

Katanya, bagi kategori Sekolah Seni, hanya lima sekolah bertanding, iaitu Sekolah Seni Malaysia Sarawak, Sekolah Seni Malaysia Sabah, Sekolah Seni Malaysia Johor Bahru, Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur dan Sekolah Seni Malaysia Perak.

“Memang tidak dinafikan persaingan antara sekolah tersebut sememangnya sangat sengit kerana setiap wakil mempunyai kekuatan, identiti dan kualiti persembahan yang tersendiri,” katanya kepada Suara Sarawak.

Tambahnya, penyertaan dalam TASEEM bukan sesuatu yang baharu buat Sekolah Seni Malaysia Sarawak tetapi setiap penyertaan hadir dengan cabaran berbeza apabila barisan penari dan tema persembahan sentiasa berubah-ubah.

“Setiap penyertaan memerlukan proses latihan, pembentukan serta persediaan yang baharu.

“Apa yang menjadi kekangan dan cabaran besar adalah masa kerana murid bukan sahaja perlu menjalani latihan tarian, malah terlibat dengan aktiviti sukan, kelas tambahan dan komitmen akademik.

“Boleh dikatakan, secara keseluruhan kami hanya mempunyai kira-kira seminggu sahaja untuk membuat persiapan bagi pertandingan ini,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, cabaran menjadi lebih besar juga dihadapi apabila hampir semua penari yang mewakili sekolah tahun ini merupakan peserta yang pertama kali beraksi di pentas TASEEM peringkat kebangsaan.

“Sudah tentu mereka berasa tertekan dan gementar kerana perlu membuat persembahan di pentas yang menghimpunkan sekolah-sekolah seni terbaik di Malaysia.

“Jadi, usaha membentuk keserasian, keyakinan dan disiplin persembahan dalam tempoh yang singkat bukanlah sesuatu yang mudah,” jelasnya.

Bagaimanapun, beliau memberitahu, di sebalik tekanan dan keterbatasan masa, semangat juang penari atau wakil dari Sekolah Seni Malaysia Sarawak tidak pernah luntur.

Menurutnya, setiap langkah tari yang dipersembahkan lahir daripada latihan yang penuh disiplin, kepercayaan antara guru dengan murid serta keinginan mengharumkan nama Sarawak.

“Alhamdulillah, berkat kesungguhan, komitmen dan semangat yang ditunjukkan oleh murid, serta bimbingan berterusan daripada guru-guru, mereka berjaya memberikan persembahan yang terbaik.

“Usaha tersebut membuahkan hasil apabila Sekolah Seni Malaysia Sarawak berjaya meraih Anugerah Khas Juri dan Naib Johan bagi kategori Tarian Rampaian Melayu, serta Anugerah Khas Juri, Anugerah Penari Lelaki Terbaik dan tempat ketiga bagi kategori Tarian Kreatif Trio,” jelasnya.

Bagi Nur Iffah Syahirah, kejayaan itu bukan sekadar deretan trofi dan pengiktirafan, sebaliknya menjadi bukti bahawa kerja keras, disiplin tinggi dan semangat berpasukan mampu menghasilkan pencapaian luar biasa meskipun berdepan pelbagai cabaran.

Beliau berharap kejayaan tersebut menjadi pembakar semangat kepada semua murid untuk terus mengangkat martabat seni tari, sekali gus mengharumkan nama Sekolah Seni Malaysia Sarawak dan Sarawak di pentas yang lebih tinggi pada masa hadapan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

16 rumah musnah dalam kebakaran di Tawau

TAWAU: Kira-kira 16 rumah kayu musnah dalam kebakaran di Lorong Fook Hwa, Batu 2, Jalan Apas, malam semalam. Ketua Zon Tawau Jabatan Bomba dan Penyelamat