KUCHING: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dijadualkan mengadakan persidangan khas sehari pada 7 Julai depan.
Menurut Timbalan Premier Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, persidangan tersebut kelak bakal menyaksikan Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg membentangkan sesuatu.
Namun beliau berkata, agenda lanjut berhubung perkara tersebut perlu ditanyakan kepada Premier sendiri kerana pihaknya belum diberitahu.
“Butiran lanjut anda perlu tanya kepada Premier kerana beliau yang akan membentangkan sesuatu.
“Kami hanya dimaklumkan bahawa akan ada persidangan khas sehari DUN Sarawak pada 7 Julai ini,” katanya Menteri Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Awam itu.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas hadir Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Majlis Perbandaran Padawan, Majlis Perbandaran Kota Samarahan dan Majlis Daerah Sarikei bersama URBANICE Malaysia untuk Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) Kajian Tempatan Secara Sukarela (VLR), di sini, hari ini.
Sementara ditanya adakah mengenai sama ada persidangan DUN Sarawak bulan November kelak akan turut berlangsung seperti biasa, beliau enggan mengulas lanjut.
“Segala agenda berkaitan adalah datang daripada Premier. Saya tidak mempunyai maklumat terperinci,” tegasnya.
Terdahulu, satu notis rasmi yang ditandatangani Speaker DUN, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar telah dihantar kepada semua 82 ADUN Sarawak.
Ia memaklumkan bahawa persidangan sehari itu kelak akan bermula jam 9.00 pagi selaras dengan Peraturan Mesyuarat 8(3), Peraturan-Peraturan Mesyuarat DUN Sarawak.
Pada tahun ini, DUN Sarawak telah bersidang dari 19 hingga 28 Mei lalu, selama lapan hari.
Untuk rekod, DUN Sarawak yang ditubuhkan pada 8 September 1867 merupakan Dewan Perundangan tertua dan terbesar di Malaysia dan kini mempunyai seramai 82 ADUN.
Perlembagaan Negeri memperuntukkan supaya DUN mengadakan persidangan sekali dalam setiap enam bulan kerana tiada sebarang cukai atau perbelanjaan boleh dikenakan ke atas Dana Tergabung Negeri melainkan setelah diluluskan oleh DUN.
Ia merupakan dewan perundangan dan institusi terunggul dalam sesebuah negara yang mengamalkan prinsip-prinsip demokrasi sebagai medan pertemuan semua wakil rakyat serta berperanan sebagai perantaraan rasmi antara pihak berkuasa dengan rakyat.



