KUALA LUMPUR: Selaras dengan nilai-nilai Kerajaan MADANI, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang berkata sains akhirnya perlu berbakti kepada kemanusiaan, berlandaskan perkongsian ilmu, kerjasama yang beretika dan tanggungjawab bersama.
“Kami amat berbesar hati menjadi tuan rumah kepada persidangan yang menghimpunkan pakar virologi global dan pemikir yang telah mendedikasikan kehidupan mereka untuk memperluas pemahaman kita terhadap virus serta implikasinya terhadap kesihatan manusia, pertanian, biodiversiti, dan ekosistem yang menjadi tonggak kelestarian kehidupan di bumi,” katanya.
Mengimbau kembali pengalaman pandemik COVID-19 dan ancaman peningkatan penyakit zoonotik, Chang menyeru supaya lebih banyak pelaburan disalurkan kepada pembangunan sistem amaran awal, diagnostik, terapi dan vaksin – bukan sekadar respons terhadap krisis malah untuk bertindak lebih awal.
Beliau turut menekankan kepentingan peranan Institut Genom dan Vaksin Malaysia (MGVI), di bawah Institut Bioteknologi Kebangsaan Malaysia (NIBM), sebagai peneraju utama dalam landskap bioteknologi negara.
MGVI memimpin usaha dalam pembangunan vaksin yang diperakui halal, teknologi mRNA, penyelidikan antivirus serta memperkukuh kerjasama penyelidikan di peringkat antarabangsa.
Persidangan tiga hari itu bertemakan “The Virosphere of Our Cellular World” yang menghimpunkan lebih 300 peserta dari lebih 25 negara.
Selain itu, persidangan berkenaan mengetengahkan lebih 150 pembentangan saintifik yang merangkumi topik seperti imunologi, penyakit zoonotik, diagnostik, inovasi vaksin, dan pemantauan genomik.
Acara berkenaan anjuran bersama WSV dan NIBM serta penglibatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), Universiti Malaya, Monash University Malaysia dan Pusat Antarabangsa Kejuruteraan Genetik dan Bioteknologi (ICGEB).– BERNAMA



