SIMUNJAN: Amalan bergotong-royong yang menjadi rutin kehidupan masyarakat negeri ini perlu dikekalkan.
Budaya tersebut mencerminkan nilai serta jati diri kehidupan masyarakat yang bergerak secara muafakat.
Adun Simunjan, Awla Dris berkata, meskipun dunia semakin moden namun budaya bergotong-royong masih lagi utuh diamalkan masyarakat ketika ini.
“Satu kebanggaan bagi masyarakat kita di Sarawak kerana masih mengutamakan amalan tersebut apabila berlangsungnya sesuatu program.
“Justeru, budaya sebegini perlu dikekal dan dipelihara bagi memastikan ia tidak terhakis ditelan arus perdana,” ujar Awla ketika berucap pada Majlis Ramah Tamah Hari Raya Aidilfitri di Kampung Nanas, Simunjan semalam.
Awla menyifatkan penganjuran program berkenaan tidak hanya penyeri suasana sempena lebaran, tetapi juga landasan terbaik merapatkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat.
Beberapa program sampingan turut berlangsung sama pada majlis tersebut. Antaranya, penyampaian insentif kepada 50 orang ahli jawatankuasa pengurusan surau terbabit.
Di samping penyampaian hadiah kepada pemenang yang telah berjaya dalam pertandingan busana baju melayu, baju kurung serta baju kebaya.
Hadir sama, Setiausaha Majlis Daerah Simunjan (MDS), Mohd. Rizal Zakaria serta ketua-ketua masyarakat setempat.





