KUCHING: Pengurus Kuching City FC, Irwanshah Mohamad menegaskan, kelebihan satu gol dimiliki pasukanya hasil kemenangan (2-1) diperolehi ke atas Selangor FC pada aksi suku akhir pertama kempen Piala FA 2024 di Kuching hujung minggu lalu akan cuba dipertahankan.
Biarpun sedar segalanya bukan mudah mengambil kira anak-anak buah Aidil Sharin Sahak yang sekali lagi akan berdepan juara lima kali itu di gelanggang lawan Sabtu ini.
“Kita mempunyai kelebihan satu gol hasil kemenangan (2-1) pada perlawanan Sabtu lepas.
“Saya percaya pemain tidak rela kempunan, kelebihan defisit gol tersebut akan cuba dipertahankan sehingga ke penghujung detik 90 minit terakhir permainan,” ujar Irwanshah kepada Arena Suara Sarawak.
Katanya, walaupun Selangor FC akan mendapat sokongan padu penyokong setia mereka aksi penentu itu kelak, ia tidak menimbulkan masalah ketara.
Ini kerana jika pemain dapat mengekal corak atau tempo permainan konsisten sebagai mana aksi di gelanggang sendiri seminggu lepas, peluang untuk menempatkan diri dalam kelompok empat terbaik tetap terbuka.





