KUCHING: Kabinet yang lebih besar membolehkan perwakilan yang lebih menyeluruh merentasi geografi Sarawak yang luas dan pelbagai terutama kawasan luar bandar dan pedalaman.
ADUN Katibas, Lidam Assan berkata, penambahan kementerian akan memastikan pengawasan, penyampaian perkhidmatan dan penglibatan masyarakat mencapai setiap pelusuk negeri.
“Ini selari dengan komitmen kita bahawa tiada siapa yang akan tertinggal sama ada rumah panjang di pedalaman mahupun penempatan terpencil jauh di sempadan negeri.
“Mengambil contoh Kapit, keluasannya 6,331 kilometer persegi, populasi 4,981 orang dengan purata tujuh orang bagi setiap kilometer persegi. Tanpa perhatian khusus daripada seorang menteri, kawasan seperti ini berisiko ketinggalan dalam arus pembangunan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada perbahasan Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Sarawak pada Persidangan DUN Sarawak Ke-19, hari ini.
Tegasnya, struktur tadbir urus merupakan cerminan realiti keluasan dan taburan geografi penduduk bagi negeri Sarawak.
Dalam perkembangan sama, beliau menegaskan ia seiring dengan visi Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk memposisikan Sarawak, bukan sekadar peneraju Malaysia bahkan sebagai pemain ekonomi utama di rantau Asia.
Justeru katanya, Pindaan RUU itu bukan sekadar pindaan pentadbiran, namun satu reformasi strategik untuk memodenkan jentera kerajaan agar sejajar dengan trajektori pembangunan Sarawak.
“Penambahan menteri dengan mandat yang lebih jelas akan memperkukuh akauntabiliti, menambah baik koordinasi merentas sektor dan memastikan pengagihan pembangunan yang adil antara kawasan bandar dan luar bandar.
“Inilah contoh tadbir urus baik yang diamalkan, bukan sekadar teori,” tegasnya.



