KUCHING: Inisiatif penambahan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dijangka membantu mempercepat proses membuat keputusan antara kementerian dan agensi berkaitan.
ADUN Tellian, Royston Valentine berkata, usaha ini penting terutama melibatkan isu baharu dalam mendepani cabaran global seperti iklim, transformasi digital dan keperluan pembangunan lestari.
“Penambahan ahli MMKN akan membantu mempercepat proses membuat keputusan serta memperkukuh koordinasi antara kementerian dan pelbagai agensi.
“Ini akan memastikan dasar kerajaan dapat dilaksanakan dengan lebih efisien dan berimpak tinggi kepada kesejahteraan rakyat,” katanya ketika berucap pada perbahasan Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Sarawak pada Persidangan DUN Sarawak Ke-19, hari ini.
Tambahnya, pindaan itu juga membuka peluang kepada lebih ramai wakil rakyat berpotensi untuk menyumbang secara langsung dalam pentadbiran negeri.
“Ini bukan saja memperluas penyertaan politik tetapi memperkaya kepelbagaian pandangan dan idea dalam proses merangka dasar baharu kerajaan.
“Dalam konteks Sarawak yang berbilang kaum dan wilayah, kepelbagaian ini penting untuk memastikan dasar kerajaan mencerminkan keperluan semua lapisan masyarakat,” katanya.
Beliau yang menyokong penuh usul tersebut mengakui inisiatif itu akan membantu Sarawak mencapai fasa pembangunan pesat dengan pelbagai inisiatif ekonomi baharu, sosial dan infrastruktur yang kini sedang giat dijalankan.
Tegasnya, penambahan ahli MMKN akan memperkukuh struktur pentadbiran Kerajaan Sarawak dengan pengagihan portfolio yang lebih seimbang dan efektif.
Katanya, ia penting bagi memastikan setiap sektor pembangunan seperti ekonomi digital, tenaga boleh diperbaharui, pertanian moden, pelancongan dan pelbagai sektor lain mendapat perhatian dan kepimpinan khusus.



