ARTIKEL

FOKUS... para peserta menunggu giliran untuk Pertandingan Forum Pelajar Peringkat Sarawak 2024.

Pertandingan forum pelajar asah penggunaan bahasa Melayu yang sempurna

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Pertandingan Forum Pelajar Peringkat Sarawak 2024 menjadi platform yang tepat untuk mengasah penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan pelajar bukan Melayu dari Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).

Menurut kenyataan daripada Dewan Bahasa dan Budaya (DBP) Cawangan Sarawak, pertandingan tersebut bertujuan membantu guru pembimbing dan peserta forum mendalami elemen penilaian dalam berforum.

“Pelaksanaan program juga dapat memberi pendedahan tentang teknik berforum, cara berkomunikasi, penghuraian isi dalam forum, pengendalian forum yang berkesan, aspek penggunaan bahasa dan sebutan yang betul.

“Pada masa sama, meningkatkan keyakinan dan kreativiti pelajar untuk mengendalikan forum dengan gaya yang lebih teratur dan mempunyai kemahiran berfikiran aras tinggi khususnya dalam kalangan pelajar SMPC dan SJKC,” katanya.

Tambahnya, program tahunan DBP ini menjadi salah satu langkah dan pendekatan untuk menggalakkan penggunaan bahasa Melayu baku dalam kalangan pelajar khususnya pelajar SMPC di Sarawak.

“Besar harapan agar program ini dapat melahirkan tokoh pelajar yang berketerampilan dalam penggunaan bahasa Melayu yang sempurna dalam aspek penggunaan tatabahasa, sebutan dan gaya,” katanya.

Sementara, program yang diadakan sempena Festival Bahasa dan Sastera Peringkat Negeri Sarawak 2024 berlangsung di Balai Budaya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak, hari ini, menampilkan 14 buah sekolah di seluruh negeri untuk bertanding.

Peserta melibatkan pelajar sekolah menengah dari Kuching termasuk Sekolah Menengah Chung Hua No 1; SM Chung Hua No 3; SM Chung Hua No 4; dan SM Min Lit, diikuti peserta dari SM Awam Serian.

Seterusnya, peserta dari SM Ming Lik (Sarikei); SM Kai Dee (Bintulu); SM Kiang Hin, SM Citizen, SM Katholik, SM Wong Nai Siong, SM Guong Ming (Sibu); SM Pei Min dan SM Jalan Riam (Miri).

Johan Pertandingan Forum Pelajar Peringkat Sarawak 2024 akan mewakili negeri Sarawak di peringkat kebangsaan.

Salah satu kumpulan yang bertanding ketika berucap menyampaikan forum berkenaan narsistik.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU