KUCHING: Penganjuran Pertandingan Pengucapan Awam Antara Universiti Antarabangsa (IIPSC) 2026 memainkan peranan penting dalam membentuk kepimpinan transformatif dan memperkukuh kemahiran komunikasi dalam kalangan mahasiswa khususnya di Sarawak.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD), Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn berkata, pertandingan itu juga dapat mengasah keupayaan peserta berfikir secara kritis, membina hujah yang meyakinkan, menghadapi situasi tekanan dan membuat pertimbangan berasaskan fakta.

“Justeru, pengucapan awam bukan sekadar satu bakat, tetapi merupakan alat penting untuk membentuk kepimpinan transformatif pada masa hadapan dan mampu meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan peserta.
“Pertandingan seperti ini turut menguji keupayaan seseorang mengawal emosi dan berinteraksi dengan audiens, serta membentuk hujah yang meyakinkan serta disokong bukti membezakan seseorang dalam masyarakat yang menyebarkan ilmu pengetahuan pada kadar yang sangat pantas,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan Ketua Bahagian Pendidikan Tinggi, Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD), Sharifah Fariah Syed Junaidi sempena Majlis Penutupan IIPSC 2026 di Perkampungan Digital Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS), di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, tambahnya, pertandingan itu juga berjaya menghimpunkan para pemidato yang bersemangat daripada pelbagai Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di seluruh Sarawak serta rakan dari Universitas Panca Bhakti Pontianak, Indonesia.
“Oleh itu, kerjasama antarabangsa ini selaras dengan usaha kita dalam menyokong agenda transformasi global seperti Matlamat Pembangunan Mampan 2030 (SDGs 2030).
“Dalam konteks ini, bahasa Inggeris berperanan sebagai jambatan yang menghubungkan kerjasama rentas sempadan dan pembentukan kewarganegaraan global,” ujarnya.
Format pertandingan berpasukan secara berpasangan yang diperkenalkan dalam IIPSC 2026 memberi peluang kepada peserta untuk menyerlahkan kemahiran bahasa masing-masing di samping memupuk semangat kerjasama.
“Melalui format ini, peserta dapat mempelajari nilai-nilai penting seperti kerja berpasukan, keupayaan menyesuaikan diri serta tanggungjawab bersama.
“Platform ini turut memberi peluang kepada peserta untuk mempertajam pemikiran serta mendengar pelbagai perspektif yang berbeza. Keluar daripada zon selesa juga adalah penting untuk pembelajaran sepanjang hayat dan kesejahteraan mental,” tegasnya.
Sementara itu, Rektor Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak, Profesor Dr. Firdaus Abdullah memaklumkan bahawa melihat kepada sambutan dan impak program tersebut, pihaknya berhasrat untuk memperluaskan penganjuran pertandingan itu dengan memperkenalkan lebih banyak kategori penyertaan pada masa akan datang.
Menurutnya, antara cadangan yang sedang dipertimbangkan termasuk mewujudkan kategori bagi pelajar sekolah menengah, sekolah rendah serta penyertaan daripada pelbagai sektor dan komuniti, selain menjemput lebih banyak universiti antarabangsa untuk mengambil bahagian.
“Program ini bukanlah penganjuran sekali sahaja, malah akan diteruskan pada tahun hadapan. Kami mahu menjadikannya lebih besar dengan penyertaan yang lebih ramai, melibatkan lebih banyak universiti serta menawarkan lebih banyak kategori dan peluang kemenangan kepada para peserta.
“Kemahiran pengucapan awam amat penting dalam membina keyakinan diri, meningkatkan kemahiran komunikasi, memperkukuh pemikiran kritis dan keupayaan menyelesaikan masalah, sekali gus menjadi aset berharga bukan sahaja dalam mencapai kecemerlangan akademik, malah dalam pembangunan kerjaya serta kehidupan profesional pada masa hadapan,” jelasnya.
IIPSC 2026 merupakan program anjuran Akademi Pengajian Bahasa, UiTM Cawangan Sarawak dengan kerjasama MEITD yang bertujuan memperkukuh kemahiran pengucapan awam, komunikasi, kepimpinan dan pemikiran kritis dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi.
Program selama tiga hari itu juga bermula pada 20 Jun lalu sekali gus menghimpunkan 32 peserta mewakili 16 kumpulan daripada institusi pengajian tinggi awam dan swasta termasuk UiTM Sarawak, IPG Tun Abdul Razak, IPG Batu Lintang, Kolej Komuniti Santubong, Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak, Politeknik Betong, Sarawak Skills, Universiti i-CATS, UNITAR, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) serta Universitas Panca Bhakti, Indonesia.



