Pertandingan sepanduk Maulidur Rasul Peringkat Daerah Kabong tawar RM1000 untuk juara

KABONG: Pejabat Daerah Kabong dan Pusat Khidmat ADUN N.40 Kabong akan mengadakan pertandingan sepanduk bersempena dengan sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Kabong pada 9 November.

Pertandingan tersebut menawarkan hadiah berupa piala dan wang tunai RM1000 kepada juara. Naib juara pula akan menerima RM700 dan tempat ketiga RM500 juga beserta piala.

Bagi yang turut menyertai namun tidak menang mereka akan turut menerima saguhati berbentuk wang tunai sebanyak RM100 .

Orang ramai dan penduduk Kabong khasnya dijemput menyertai pertandingan tersebut. Tarikh tutup penyertaan adalah pada 28 Oktober 2019.

Jurucakap Program, Nur Elffi Amir yang juga merupakan Pegawai Tugas Khas kepada ADUN Kabong berkata,
pertandingan terbuka kepada semua jabatan, persatuan, kampung, serta surau di seluruh daerah Kabong.

” Pihak pengelola akan turut memberi hadiah kepada kontinjen terbaik dengan johan akan menerima wang tunai berjumlah RM700 beserta piala, naib johan RM500 beserta piala dan tempat ketiga akan menerima RM300 juga beserta piala. Anugerah selawat terbaik juga akan turut menerima hadiah wang tunai berjumlah RM300 serta piala, ” ujarnya.

Selain pertandingan sepanduk dan perbarisan, turut diadakan adalah pertandingan mengarang esei, pertandingan azan serta bacaan surah Al-Fatihah dan Surah Lazim yang akan diadakan pada 8 November 2019 iaitu sehari sebelum sambutan Maulidur Rasul bertempat di Masjid As-sabirin, Kabong.