KUCHING: Pertandingan Trafik Sarawak (STG) memainkan peranan penting sebagai platform pembelajaran berasaskan pengalaman yang berkesan dalam membina kesedaran berhubung keselamatan jalan raya, kata Datuk Wee Hong Seng.
Datuk Bandar Kuching Selatan itu berkata, ia juga merupakan usaha penting dalam memupuk sikap bertanggungjawab sekali gus menyemai budaya keselamatan dalam kalangan generasi muda.

Menurutnya, pendekatan yang menggabungkan elemen bermain dan pembelajaran terancang membolehkan kanak-kanak membentuk sikap yang baik sejak usia muda, sesuatu yang sukar diperoleh melalui kelas formal semata-mata.
“STG bukan sekadar pertandingan, tetapi ia merupakan platform pembelajaran berasaskan pengalaman yang sangat berkesan dalam memupuk kesedaran keselamatan jalan raya melibatkan generasi muda.
“Kami percaya bahawa apabila kanak-kanak menikmati proses pembelajaran, mereka lebih mudah memahami dan mengingati pelajaran tersebut seumur hidup,” katanya ketika menyampaikan ucapan aluan sempena pelancaran STG Kuching 2025 di Taman Lalu Lintas Kenyalang, Kuching, hari ini.
Sehubungan itu, tambahnya, penganjuran edisi kali ini amat bermakna kerana ia menandakan kembalinya STG ke Kuching selepas 10 tahun yang mana kali terakhir diadakan adalah pada 2015.
“Taman Lalu Lintas Kenyalang sendiri mempunyai sejarah lebih 50 tahun dan menjadi tempat pembelajaran dan kenangan zaman kanak-kanak bagi ramai warga Kuching.
“Kembalinya STG di sini bukan sekadar simbolik—ia mencerminkan komitmen baharu kita dalam mendidik anak-anak dengan cara yang menyeronokkan dan berkesan,” ujarnya.
Dalam hal berkaitan, beliau memberitahu bahawa MBKS juga berbangga kerana dapat menyokong penuh inisiatif tersebut.
“Ini termasuk menyediakan tempat, kemudahan, bantuan teknikal serta bahan pembelajaran seperti kereta kayuh dan basikal bagi menjayakan simulasi yang realistik,” jelasnya.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa keselamatan jalan raya adalah tanggungjawab bersama dan memerlukan kerjasama antara pihak berkuasa, institusi pendidikan dan komuniti setempat.
“Kami sentiasa komited bekerjasama dengan Kementerian Pengangkutan Sarawak, sekolah dan agensi berkaitan untuk meningkatkan kesedaran menerusi infrastruktur, pendidikan dan program seperti STG.
“Saya juga berharap agar Kuching dapat dijadikan lokasi tetap penganjuran STG bagi tahun-tahun akan datang, supaya lebih ramai kanak-kanak mendapat manfaat dan mencipta kenangan berharga di Kenyalang,” tegasnya.
Untuk rekod, Taman Lalu Lintas Kenyalang ini juga telah dinaik taraf dengan peruntukan sejumlah RM350,000 untuk memastikan kelestarian dan keberkesanan program pendidikan trafik di kawasan bandar ini.



